Edited by pintukaca at 19-4-2019 06:00 PM
Kemalangan di LTSAAS: Kenderaan mangsa statik ketika pesawat mendarat
Oleh Zanariah Abd Mutalib
[email protected]
PUTRAJAYA: Laporan awal berhubung kes kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang mendapati kenderaan dinaiki kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang maut dalam kejadian itu, berada dalam keadaan statik ketika sebuah pesawat persendirian mendarat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Perodua Kembara terbabit adalah kenderaan pengiring kepada sebuah kenderaan penyelenggaraan yang membawa tiga pekerja kontraktor lain, dan kedua-duanya masuk ke landasan lapangan terbang itu kira-kira jam 1 pagi 18 Mac lalu, bagi menjalankan kerja mengecat.
Katanya, komunikasi antara Pengawal Trafik Udara yang bertugas dengan kenderaan pengiring menggunakan walkie-talkie, manakala kenderaan kontraktor tidak ada sebarang cara komunikasi dengan menara kawalan.
Beliau berkata, pada jam 2.15 pagi, pengawal menara menerima permintaan supaya landasan berkenaan dikosongkan dan berdasarkan komunikasi ketika itu, Pengawal Trafik Udara merekodkan dalam buku log bahawa kerja penyelenggaraan di landasan sudah siap serta semua kenderaan sudah mengosongkan landasan kecuali dua kenderaan yang melakukan kerja mengecat.
“Mereka (pekerja penyelenggaraan) menggunakan kenderaan kontraktor bergerak di sepanjang garisan tengah dan kenderaan pengiring mengekori dengan rapat.
“Selepas seketika, pekerja itu sedar bahawa kenderaan pengiring tertinggal di belakang tanpa sebab yang jelas kepada mereka dan kekal statik kira-kira 30 meter di belakang,” katanya pada sidang media berhubung laporan awal kemalangan itu, di sini, hari ini.
Pada 19 Mac lalu, kakitangan MAHB, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian di landasan LTSAAS, sehari sebelumnya.
Kenderaan dipandu Mohd Ruzaimi berlanggar dengan dengan sebuah pesawat persendirian di landasan LTSAAS. - Ihsan pembaca
Loke berkata, selepas ketua pekerja kontraktor itu melihat pesawat persendirian terbabit terbang rendah untuk mendarat, mereka segera mengalihkan kenderaan mereka dari landasan tetapi kenderaan pengiring berkenaan masih tidak bergerak.
“Berdasarkan kenyataan saksi, mereka memancarkan lampu kenderaan beberapa kali kepada kenderaan pengiring itu untuk menarik perhatian, namun tiada maklum balas,” katanya.
Loke berkata, selepas pesawat itu mendarat dan berada pada kelajuan 90 hingga 100 knots, juruterbang merasakan yang pesawat itu melanggar sesuatu di landasan.
Beliau berkata, hasil laporan awal turut mendapati kru udara pesawat persendirian itu memiliki lesen dan mendarat secara sah selepas menerima kebenaran daripada Menara Kawalan Trafik Udara Subang.
“‘Break Shift’ membabitkan hanya seorang Pegawai Trafik Udara yang bertugas selepas tengah malam hingga jam 6.30 pagi. Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan menjalankan siasatan lanjut mengenai sistem seorang pengawal pada satu syif.
“Selain itu, dari segi komunikasi antara trafik udara dan pihak yang bekerja, siasatan menyeluruh akan dijalankan berhubung prosedur operasi standard (SOP) penggunaan walkie-talkie berbanding komunikasi radio Frekuensi Sangat Tinggi (VHF),” katanya.
Loke berkata, siasatan mendalam juga akan dilaksanakan mengenai SOP bagi kenderaan beroperasi di landasan, terutama peralatan khas diperlukan apabila kenderaan memasuki landasan seperti peralatan komunikasi radio dan lampu kecemasan berputar.
Beliau berkata, dua Pengawal Trafik Udara yang bertugas pada hari kejadian kini sedang digantung tugas sementara siasatan dijalankan, dan hasil siasatan akhir kejadian akan siap dalam masa setahun dari tarikh insiden.
“Ketika ini, masih terlalu awal untuk merumuskan bahawa ia adalah disebabkan kecuaian manusia,” katanya.
|