Raja buah, durian mempunyai ramai peminat dari Malaysia khususnya dan di kalangan orang Asia amnya kerana kelazatan isinya yang berkrim, manis dan berlemak.
Bagi yang suka makan durian, apabila tiba musimnya ia ibarat satu pesta makanan.
Kredit foto: The Star
Namun, bagi sesetengah orang terutamanya di barat, bau durian yang kuat boleh membuatkan mereka pening kepala dan berasa ingin muntah.
Pada Sabtu, pasukan polis, bomba dan perkhidmatan kecemasan dikejarkan ke sebuah pejabat pos di bandar Schweinfurt, Bavaria selepas pekerja di pejabat pos di situ terhidu bau amat kuat dari sebuah bungkusan.
12 staf di Jerman mendapatkan rawatan di hospital dan berpuluh-puluh lagi dibawa keluar dari pejabat pos di bandar Bavarian, Schweinfurt, lapor media tempatan.
Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut rupa-rupanya mengandungi empat biji durian dari Thailand yang dikirim seorang penduduk Schweinfurt berusia 50 tahun untuk rakannya di Nuremberg.
Akibat mual kesan dari terhidu durian berkenaan, 12 staf terbabit menerima rawatan di hospital. Walau bagaimanapun, durian berkenaan akhirnya dihantar jua kepada penerima sepatutnya.
Bagi masyarakat negara barat, konsep durian ini sangat membelenggu fikiran mereka sehingga buah ini turut menjadi pilihan program realiti Fear Factor yang pernah menampilkan durian sebagai salah satu makanan yang mesti ditelan oleh peserta. - CARI
|