KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberikan semua menteri dan timbalannya petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas untuk dicapai sepanjang perkhidmatan dalam kerajaan.
Mereka yang gagal memenuhi piawaian ditetapkan itu perlu diganti dan langkah ini membolehkan semua menteri serta timbalannya berusaha memberi perkhidmatan terbaik, sekali gus pencapaian mereka itu dilaporkan kepada rakyat pada masa ditentukan secara telus.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, berkata pelaksanaan 'Kad Laporan' membabitkan anggota pentadbiran kerajaan ini selaras dengan matlamat Kerajaan Perpaduan yang mahu menjadi telus, mengamalkan tata kelola yang baik, membasmi rasuah dan mengamalkan akauntabiliti.
"TI-M percaya Kerajaan Perpaduan perlu diberi masa untuk mengenal pasti dan mengutamakan komitmennya kepada rakyat. Jadi, pada masa ini kami tidak mencadangkan sasaran dan garis masa untuk KPI berkenaan.
"Bagaimanapun, kami menggesa Perdana Menteri merujuk kepada Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang juga dokumen apolitik yang digubal pada 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu dan sebahagian besarnya disahkan oleh kerajaan berikutnya.
"NACP menyediakan panduan dan petunjuk jelas mengenai inisiatif untuk menambah baik tata kelola dan amalan integriti pada peringkat nasional," katanya dalam kenyataan, hari ini.
KPI itu perlu sebagai panduan jelas mengenai objektif mahu dicapai kerajaan dan menyediakan cara untuk menilai prestasi mereka terbabit.
Muhammad berkata, budaya ketelusan dan bertanggungjawab tidak memerlukan sebarang tempoh tangguh, sebaliknya ia harus diamalkan segera.
Beliau berkata, perkara sama yang diharapkan rakyat dan negara perlu menangani pelbagai cabaran serta menetapkan semula dirinya.
"TI-M akan menyokong Perdana Menteri dalam memastikan semua menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan mengamalkan budaya ini dan mereka yang gagal memenuhi piawaian ini perlu diganti.
"Kita juga kekal komited untuk membabitkan diri dengan Kerajaan Perpaduan dalam bidang tata kelola yang baik dan integriti.
"Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai ahli masyarakat sivil yang bertanggungjawab, untuk menawarkan sokongan dan cadangan alternatif yang membina jika perlu untuk manfaat negara," katanya.
Muhammad berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan usaha dilakukan Anwar untuk mengukuhkan tadbir urus sektor awam seperti keperluan untuk pembidaan kompetitif dalam pemerolehan dan kajian semula projek bernilai tinggi tertentu.