Akim sasar beli rumah sebelum kahwin Stacy
PENAT bermain teka-teki dengan persoalan hubungan antara pasangan penyanyi popular, Akim Ahmad dan Stacy Angie, kedua-dua bintang Akademi Fantasia itu akhirnya mengakui menjalin hubungan cinta sekitar tahun lalu. Sebaik pengakuan tersebut dibuat, pasangan itu terus diserang bertubi-tubi dengan soalan panas terutama berkaitan isu berumah tangga berikutan perbezaan agama di antara mereka.
Meskipun meletakkan harapan tinggi terhadap hubungan bersama Stacy, Akim mengakui masih belum bersedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan. Berusaha untuk menyediakan persiapan, penyanyi lagu Inilah Cinta itu berazam untuk memiliki kediaman sendiri sebelum berkahwin. Malah, penyanyi yang baru berusia 24 tahun itu sempat berseloroh dengan mengatakan hanya menanti seru berkahwin jika Stacy memeluk Islam. “Secara jujurnya, saya masih tidak bersedia untuk berumah tangga namun perancangan ke arah itu tetap ada. Tunggu Stacy peluk Islam dulu. Lagipun perkara seumpama ini biarlah ditentukan oleh Allah kerana kita hanya mampu merancang.
“Sebetulnya saya masih perlu melakukan beberapa persiapan sebelum berkahwin terutamanya memiliki kediaman sendiri demi memastikan keselesaan keluarga kelak. “Tanggungjawab menyediakan kelengkapan itu penting kerana saya bakal menjadi ketua keluarga nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Yeo’s Beramal Bersama Bintang dan Menang Duit Raya yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini. Biarpun gigih berusaha melengkapkan persiapan sebelum berumah tangga, Akim turut meluahkan isi hatinya tentang persediaan diri dalam menggalas tanggungjawab menjadi suami isteri. Baginya tanggungjawab selaku ketua keluarga tidak hanya khusus terhadap menyediakan keselesaan tetapi sikap bertolak-ansur dalam membuat keputusan dan mengawal keinginan amat penting. “Buat masa sekarang saya mengakui bahawa masih tidak bersedia untuk berkahwin kerana gagal mengawal keinginan sendiri. Pada saya perkara itu penting kerana apabila berumah tangga, semua keputusan perlu diambil kira. “Sebagai orang muda, saya masih mempunyai keinginan sendiri dan tidak ada sesiapa boleh menghalangnya. Oleh itu, saya fikir lebih baik segalanya diserahkan kepada Tuhan dan biarlah Dia yang menentukannya,” tutur anak kelahiran Johor itu. Biar mengaku masih belum bersedia untuk berkahwin, hakikatnya kata Akim baik keluarganya atau Stacy, sentiasa menyokong hubungan mereka. Perbezaan agama pula tidak pernah menjadi penghalang yang menyebabkan mereka perlu memutuskan hubungan. Ditanya mengenai kerjayanya pula, Akim memberitahu, buat masa sekarang dia meletakkan jenama Akim & The Magistrate sebagai keutamaan berbanding kerjaya solonya. Bakal melancarkan buah tangan sulung bersama The Magistrate pada bulan Ogos depan, album bertajuk Patriot itu memiliki lapan buah lagu.
Selepas menempa nama menerusi lagu Mewangi dan Potret, Akim & The Magistrate akan mengetengahkan single seterusnya berjudul Patriot. “Kami memilih untuk meletakkan nama Patriot untuk album pertama ini kerana ia membawa maksud pejuang yang sinonim dengan tujuan The Magistrate memperjuangkan muzik dalam industri. “Selain nama album berjudul Patriot, lagu dengan judul yang sama digunakan bagi menimbulkan semula rasa cinta kepada negara tambahan karya seperti ini kurang mendapat perhatian peminat. “Perkara yang sama menimpa lagu-lagu bersifat patriotisme apabila kurang diputarkan di corong radio dan hanya mendapat perhatian pada sambutan tertentu,” jelas Akim panjang lebar.
Dalam perkembangan lain, Akim bersama lima selebriti iaitu Nad Zainal, AG, Heliza Helmi, Ajak Shiro dan Atikah Suhaime telah ‘dirantai’ sebagai wajah baharu untuk menjayakan program amal bersama jenama minuman Yeo’s. “Dalam program tersebut saya akan bergandingan bersama Atikah Suhaime sebagai usaha mengumpul dana bagi membantu rumah anak yatim yang kami wakili. “Program ini benar-benar telah menginsafkan saya dan mengajar tentang erti bersyukur dengan nikmat dalam menjalani kehidupan yang lebih sempurna berbanding golongan kurang bernasib baik,” jelasnya tersentuh dengan kehidupan anak yatim yang serba kekurangan.
|