KUALA LUMPUR: Hantaran dimuat naik bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Facebook, mencetuskan persoalan selepas beliau memberi bayangan bakal menyertai kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran terbabit, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkongsi kata-kata Perdana Menteri kepada beliau ketika bertemu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam.
"Perdana Menteri berkata 'bersiap sedia, cuti sabatikal anda akan berakhir dalam tempoh terdekat'," katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran sama, Maszlee memaklumkan, MPP PKR berdiri teguh bersama Anwar untuk memastikan keutuhan Kerajaan Perpaduan dan meneruskan agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat serta negara.
"Ahli MPP bertekad memastikan parti akan terus relevan dan menjadi parti pilihan utama rakyat berbilang bangsa di tanah air ini," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam itu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ir Hasni Muhammad.
Maszlee memperoleh 16,491 undi, manakala bekas Menteri Besar Johor itu mendapat 18,312 undi sekali gus menyaksikan beliau tewas dengan majoriti 1,821 undi.