Persaingan Sengit Di Separuh Akhir Muzik-Muzik 24 Credit:gua.com.my 22 Oct 2009
Petang tadi, bertempat di perkarangan Sri Pentas diumumkan 30 lagu yang telah berjaya memasuki pusingan separuh akhir Muzik-Muzik.
Mereka adalah:
6 Nov
1. Mirage (Pesawat)
2. Kau Aku (Aizat)
3. Dia, Aku dan Kamu (Nadia & Red Peanut)
4. Oh Anok Anok (Reshmonu)
5. Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah)
6. Aku Scandal (Hujan)
7. Enjut (Noraniza Idris)
8. Gila (Mila)
9. Dan Sebenarnya (Yuna)
10. Raja Gelek (One Nation Emcees)
11. Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor)
13 Nov 1. Aurora (Estranged)
2. Seadanya Aku (Nubhan)
3. Tahu Tak Tau Joget (Jinbara) 4. Ku Pinjam Satu Bintang (Alyah & Riz) 5. Fikirlah (Aizat)
6. Khatimah Cinta (6ixth Sense)
7. Bengang (Akim)
8. Aku Rindu Sayang Kamu (Black)
9. Pari-Pari Di Bawah Angin (Meet Uncle Hussain)
10. Benar-Benar (Adam)
11. Masih Jelas (Hafiz)
20 Nov
1. Situasi (Bunkface)
2. Rindu Terhenti (Tomok)
3. Patri (Jinbara)
4. Pakai Buang (Stacy)
5. Pergi (Aizat)
6. Ketika Ini (Estranged)
7. Bencinta (Faizal Tahir)
8. Cinta Adam & Hawa (Misha Omar)
Tarikh 6, 13 dan 20 November merupakan tarikh persembahan mereka, yang akan berlangsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dari jam 10 hingga 11.30 malam, mengikut urutan yang tertera.
Muzik-Muzik edisi ke-24 ini menampilkan format baru dimana pencalonan lagu tidak fokus kepada tiga kategori utama iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock. Pendek kata, Muzik-Muzik kali ini tidak mempertandingkan sebarang kategori.
Tujuannya untuk memberi peluang kepada pengiat-pengiat seni muzik untuk bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori ini saja.
Lagu-lagu yang layak dipertandingkan di Muzik-Muzik Separuh Akhir dipilih melalui markah tertinggi yang diperolehi melalui undian yang dibuat setiap minggu dan berdasarkan tempoh kedudukan lagu tersebut di dalam carta mingguan Muzik-Muzik.
Sebanyak 112 lagu yang telah dicalonkan sepanjang tahun mulai 4 April hingga 17 Oktober tetapi hanya 30 lagu sahaja terpilih ke separuh akhir. Dari situ, 14 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu yang akan diumumkan selepas persembahan terakhir pada 20 November.
Pemilihan dibuat berdasarkan pemarkahan oleh juri profesional berdasarkan persembahan pada malam pertandingan dicampur markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan.
Tiket-tiket percuma ke pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik boleh diperolehi di Balai Pengawal Sri Pentas Bandar Utama dan Balai Pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral mula 31 Oktober.
Untuk maklumat lanjut mengenai Separuh Akhir Muzik-Muzik 24, layari www.tv3.com.my
Juara Lagu 24 hilang warna warni Credit:mangga Online Jumaat, 23 Oktober 2009
30 buah lagu diumumkan layak ke persaingan peringkat separuh akhir Juara Lagu 24. Kalau dulu ada ketegori balada, pop rock dan etnik kreatif, kali ini kategori itu dimansuhkan sebaliknya dijalankan secara terbuka.
Antara alasan yang diberikan ialah kurangnya lagu baru yang masuk bertanding, tidak cukup kuota lagu etnik kreatif serta adanya lagu-lagu rentak baru yang tidak kena dengan kategori yang diadakan sebelum ini.
Hafiz, Stacy dan Akim layak ke separuh akhir Juara Lagu 24.
Kalau dilihat senarai lagu yang layak, ia memang mencerminkan muzik yang didengar oleh peminat hari ini. Itulah juga lagu-lagu yang dimainkan di corong-corong radio pada masa ini.
Nampaknya kali ini Juara Lagu hilang warna warni apabila sejenis muzik sahaja yang mendomonasinya. Hanya lagu Enjut (Noraniza Idris) dan Oh Anok Anok (Reshmonu) yang boleh dikategorikan dalam kategori etnik yang mengangkat serba sedikit muzik etnik negara ini.
Pastinya dua lagu yang mewakili muzik mereka akan tenggelam di sebalik kemeriahan lagu-lagu yang dihasilkan oleh pemuzik generasi baru seperti Bunkface, Estranged, Hujan, Meet Uncle Hussain dan lain-lain
Lagu Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar), Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor), Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah), Kupinjam Satu Bintang (Alyah dan Riz), Seadanya Aku (Nubhan) dan Pergi (Aizat) yang mewakili lagu-lagu berlenggok.
Selebihnya lagu pop atau rock semasa. Ada lagunya yang kedengaran hampir sama kerana dihasilkan mengikut cita rasa yang sama oleh generasi pemuzik yang dikategorikan dalam kelompok indie. Mungkinkah ini dia corak muzik kita?
Dominasi bintang realiti
Separuh akhir Juara Lagu 24 menampilkan barisan besar bintang realiti baru dan terdahulu. Itulah barisan penyanyi yang ada hari ini.
Daripada Akademi Fantasia ada wakil iaitu Stacy (Pakai Buang), Adam (Benar Benar), Mila (Gila), AIzat (Kau Aku, Pergi dan Fikirlah), Nadia (Dia, Aku Dan Kamu), Hafiz (Masih Jelas), Nubhan dan Akim (Bengang).
Bintang realiti dari stesen rangkaian Media Prima pula diwakili Faizal Tahir (One In The Million) (Bencinta),Tomok OIAM (Rindu Terhenti), One Natien Emcees (Gangstarz) (Raja Gelek) dan Black (Aku Rindu Sayang Kamu).
Lagu-lagu lain ialah Aurora dan Ketika Ini (Estranged), Situasi (Bunkface), Dan Sebenarnya (Yuna), Aku Scandal (Hujan), Patri dan Tahu Tak Tahu Joget (Jinbara), Mirage (Pesawat), Khatimah Cinta (Sixth Sense) dan Pari-pari Di Bawah Angin (Meet Uncle Hussain).
"Sejak dulu lagi kami sentiasa terbuka dengan cadangan dan pendapat serta kehendak dalam industri muzik itu sendiri bagi meningkatkan lagi mutu program Muzik Muzik.
"Sebab itulah juga Muzik Muzik 24 tampil dengan format baru dengan pencalonan lebih fleksible dan ini bermakna lagu-lagu yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu," kata Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria.
Saingan peringkat separuh akhir akan diadakan pada 6 November 2009, 13 November 2009 dan 20 November 2009. Keputusan lagu yang akan ke pertandingan akhir akan dibuat sejurus selepas saringan ketiga selesai. Pertandingan separuh akan akan disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 10.00 malam. Pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu 24 akan diadakan pada Januari 2010.
Jadi pilihan anak VIP
Credit: Berita Harian Online Jumaat, 30 Oktober 2009
SELEPAS lama menyimpan impian, akhirnya Naib Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Riz tersenyum puas album pertamanya Bermula Semula mula diedarkan.
Riz kini mengikuti jejak Stacy selaku Juara AF6 yang terlebih dulu menghasilkan album. Cerita lucu di sebalik kemunculan album itu ialah apabila ada desas desus mendakwa kononnya penerbitan album Bermula Semula ditaja oleh pihak tertentu, terutama daripada kalangan anak VIP dan beberapa wanita bergelar Datin.
Ketika ditemui di pelancaran albumnya di ibu negara baru-baru ini, jejaka berusia 23 tahun ini hanya ketawa apabila diajukan pertanyaan itu.
“Kalau ditaja agaknya sudah lama sudah muncul dengan album. Gosip dan cerita yang timbul itu tidak benar dan saya harus tekankan album ini terhasil dengan duit sendiri. Tajaannya cuma dari Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Selepas Maestro ditutup, AESB saja yang sudi menyumbangkan tiga lagu dalam album ini iaitu Hanya Sandiwara, Kehilangan dan Kau Wanita.
“Sejak keluar dari AF6 lagi, saya bersyukur kerana ada peminat yang masih sudi menyokong termasuklah kelompok wanita yang dimaksudkan. Mereka hanya menghargai bakat saya dan tidak lebih daripada itu. Saya yakin sokongan itu memberi erti kerana merekalah yang akan membeli album saya,” katanya sambil memberitahu album Bermula Semula ini diterbitkan syarikat miliknya Riz Entertainment dengan kerjasama Wake The Baby dan diedarkan Warner Music.
Menurut Riz, album yang terhasil ini memberikan simbolik di atas kegigihannya dalam bidang yang diceburi itu. Biarpun sudah lama mencuba nasib, namun hanya pada tahun ini saja impiannya jadi kenyataan. Sambil merahsiakan kos pembikinan album ini, Riz menjelaskan ia sebagai langkah percubaan pertamanya mengisi liga seni tempatan.
Lagu Bermula Semula ciptaan Ajai dan liriknya oleh Abie yang dipilih sebagai judul album sulungnya ini juga menggambarkan titik permulaan untuk terus membuktikan keupayaan bakatnya boleh dikongsi bersama mereka yang menghargai muzik.
“Lagu ini memberi makna tersendiri dalam hidup saya kerana kebetulan ia ada kena mengena dengan kehidupan ibu bapa saya. Lagu ini saya ditujukan khas kepada mereka. Ibu bapa saya pernah bercerai sebelum saya menyertai AF6 lagi,” katanya yang masih setia disokong kelab peminatnya, Riz Fan Club sekitar hampir 2,000 ahli.
Biarpun album ini tidak dapat dipenuhi 100 peratus, Riz yakin dan positif album ini memberi kelainan.
“Saya harus yakin terhadap album ini biarpun kebanyakan penyanyi kita memilih untuk muncul dengan lagu single saja.
“Kalau saya tak yakin, saya tak buat album ini. Untuk maju dalam bidang ini saya tidak boleh berpeluk tubuh tanpa berusaha melakukan sesuatu. Bukan senang menghasilkan album ini kalau tak ada duit. Alhamdulillah dengan simpanan duit yang ada selepas keluar AF6, saya mampu menjadikan semuanya kenyataan,” katanya yang masih kerap diundang membuat persembahan.
Menariknya juga album ini membabitkan nukilan kreatif wartawan berpengalaman seperti Abie Abdullah, Roslen Fadzil, Rosli Manah dan Saharuddin Mustapha. Album yang mula dirakamkan sejak Ramadan tahun lalu turut menggunakan khidmat vokalis kumpulan Hujan.
Ditanya kepada Ajai selaku ‘orang kuat’ Wake The Baby yang juga penerbit album, tiada istilah membodek dengan mengundang wartawan untuk terbabit sama dalam pembikinan album ini.
“Saya sudah bekerjasama dan kenal dengan wartawan sejak bersama Exist lagi. Tiada salahnya untuk saya menghargai bakat mereka,” kata Ajai yang mula memerhati bakat Riz sejak penyertaannya di Gang Starz.
Menurutnya, album Riz akan dipromosikan menggunakan pendekatan lama atau ‘old school’. Selain memberi tumpuan terhadap album fizikal, mengikuti aliran pasaran sekarang, fokus terhadap muat turun juga akan diberi perhatian.
“Cara lama yang saya maksudkan sudah pun dilakukan terhadap album Alyah iaitu dengan melawat stesen radio di seluruh negara. Begitu juga dengan pihak TV, wartawan dan peminat. Cara itu juga akan dilakukan untuk album Riz termasuk siri jelajah bagi menghebahkan kewujudan album ini,” kata Ajai.
INFO: Album Riz, Bermula Semula
Sepatutnya dilancarkan beberapa bulan lalu, namun disebabkan faktor kewangan ia dianjak hingga ke bulan ini.
Jika di dalam album Alyah, lagu Ku Pinjam Satu Bintang dinyanyikan secara duet oleh Alyah dan Riz, namun untuk album ini, Riz menyanyikan secara solo.
Album ini akan dijual dengan pek istimewa sebanyak 500 unit (edisi terhad). Selepas itu ia dicetak dan dijual dengan menggunakan pembungkusan biasa.
Lagu Bermula Semula turut menampilkan suara Alyah.
INFO: Riz
Nama Penuh: Mohammed Idris Mohd Zaizizi
Tarikh lahir: 19 Disember 1986
Asal: Grik, Perak
Pencapaian: Naib juara Akademi Fantasia musim keenam
Pernah menganggotai kumpulan Equal Star dan pernah menyertai pertandingan Gang Starz musim pertama
Idolanya, Anuar Zain dan Robbie William. Kata Riz, dia berharap dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan apa yang dikecapi Anuar sekarang.