UiTM Sarawak bantu isteri penumpang QZ8501
KUCHING: UiTM Sarawak menyatakan komitmen membantu, termasuk memberikan sokongan moral kepada kakitangannya, Profesor Madya Annie Wong Muk Ngiik, isteri kepada ahli perniagaan, Sii Chung Huei, seorang daripada penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang dilaporkan hilang sejak semalam. Rektor UiTM Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, berkata kejadian menimpa pesawat itu cukup mengejutkan dan di luar jangkaan, malah pihaknya amat bersimpati dengan nasib menimpa anak kapal serta penumpangnya. "Kita amat terkejut dengan kejadian ini, lebih-lebih lagi ia turut membabitkan satu-satunya warga Malaysia yang juga suami kepada warga akademik UiTM Sarawak. "Sokongan moral berterusan akan kita berikan kepada Profesor Madya Annie Wong Mun Ngiik, pensyarah kanan kita di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, dalam mengharungi dugaan ini," katanya kepada BH, di sini sebentar tadi. Dalam kejadian 8 pagi semalam, pesawat Airbus 320 milik AirAsia Indonesia dilaporkan terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura. Kali terakhir dikesan radar, pesawat terbabit berada di kawasan perairan berhampiran Pulau Belitung, tidak jauh dari Palembang, Indonesia. Berikutan itu, gerakan mencari dilancarkan Kerajaan Indonesia, dengan sekurang-kurangnya lima kapal peronda dikejarkan ke lokasi terakhir pesawat malang berkenaan dikesan sebelum dilaporkan sebelum terputus hubungan. Jamil berkata, pihaknya yakin Kerajaan Indonesia sedang berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan negara tetangga, termasuk Malaysia dan Singapura. Sementara itu, Annie dilaporkan berada di Singapura sejak semalam bagi mengikuti perkembangan terkini operasi SAR pesawat berkenaan. Difahamkan, semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal berkumpul di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi untuk tujuan dokumentasi, selain membantu pihak berkuasa dalam operasi SAR berkenaan.
|