|
HIP Aduh Mawi, Aduh Nasir!
Oleh Farihad Shalla Mahmud
LAGAK MODEL: Aksi Mawi yang menggayakan pakaian yang direka Bon Zainal dalam program Oh Lelaki.
Filem belum siap tetapi kontrak sudah tamat
KALI terakhir dia berada di lokasi penggambaran filem Aduh Saliha di Sabah iaitu pada bulan Ramadan yang lalu sebelum bercuti untuk menyambut Hari Raya. Waktu itu, sempat jugalah Mawi menyiapkan 20 peratus penggambaran filem yang diarahkan penyanyi, pelakon dan komposer tersohor, M Nasir itu. Janjinya, sebaik saja selesai bercuti, Mawi akan kembali menghabiskan baki lakonan yang perlu dilunaskan segera.
Malah masih terngiang-ngiang di telinga bahawa seminggu selepas Aidilfitri, dia harus segera ke Keningau, Sabah bagi menyiapkan penggambaran filem Aduh Saliha. Namun, ibarat menanti buah yang tak gugur, selepas lebih sebulan berehat, sehingga kini jejaka dari Felda Taib Andak ini masih setia menunggu bilakah masanya untuk dia kembali memulakan penggambaran.
"Sehingga kini saya masih menunggu lampu hijau daripada syarikat produksi untuk memulakan penggambaran. Sementara menunggu itu sempat juga memenuhi undangan pertunjukan pentas, buat rakaman dan sesi fotografi. Jadi tak adalah terasa sangat," jelas Mawi sambil mengakui masih belum mendapat apa-apa petunjuk bila produksi terbabit akan memulakan penggambaran.
Ditebak bahawa penggambaran itu tergendala disebabkan masalah kewangan yang dihadapi penerbit filem itu, The Cameracrew Productions Sdn Bhd, seperti yang digembar-gemburkan dalam beberapa ruangan gosip sebelum ini, Mawi hanya menggerak-gerakkan jari telunjuknya sebagai isyarat yang dia tidak tahu menahu akan perkara itu.
"Saya memang tak tahu apa-apa pasal itu. Kalau hendak tahu tanya sendiri dengan produksi terbabit," ujar Mawi berkali-kali. Bagaimanapun, sebagai artis yang jadual hariannya cukup padat, Mawi menaruh harapan penggambaran filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dapat diselesaikan secepat mungkin kerana dia mempunyai banyak komitmen lain yang perlu dilunaskan. |
|