Suasana di selatan negara Perancis atau lebih tepat lagi di Cannes, Côte d'Azur yang kini sibuk dengan kehadiran para selebriti terkenal dunia khususnya penggiat filem yang menjadi tetamu bagi Cannes Film Festival yang saban tahun diadakan di lokasi peranginan terkenal itu.
Dalam pada itu, Islamic Fashion Festival (IFF) yang diterajui Dato’ Raja Shah Rezza turut mengambil kesempatan ini dengan menganjurkan acara fesyen yang membabitkan para pereka antaranya Rizman Ruzaini bersama penyanyi tersohor Ziana Zain mewarnai acara pertunjukkan fesyen muslimah itu.
Dalam beberapa siri foto yang dikongsikan oleh Rizman Ruzaini dan juga Ziana Zain sendiri, helaian yang dihasilkan dengan asas rona emas berjaya mencuri perhatian dan terlihat elegan serta memiliki keistimewaan tersendiri.
Melalui ruangan Instagram, peminat dapat melihat keanggunaan Ziana Zain menggayakan persalinan cantik ketika menghadiri festival tersebut bersama-sama kedua-dua pereka fesyen kesayangannya itu.
Ziana juga telah diberikan penghormatan untuk memperagakan busana indah Rizman Ruzaini di atas runway yang disaksikan hadirin yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Penyanyi lagu Kemelut Di Muara Kasih ini memukau tetamu yang hadir dengan penampilannya yang anggun itu walaupun kini sudah berusia 47 tahun.
Acara yang turut dihadiri kerabat Pahang dan juga disertai pereka fesyen daripada Malaysia seperti Tom Abang Saufi, Farah Khan manakala Ghea Panggaban dari Indonesia dan Ashley ISham dari Singapura telah mendapat perkenan putera Salman ibn Saud, putera daripada keluarga diraja Arab Saudi