|
Siti Nordiana jayakan Malam Kalimah Cinta di Istana Budaya
Credit to bharian.
Oleh Zaidi Mohamad [email protected]
SITI Nordiana, Ronnie Hussein dan Lah Ahmad.
KUALA LUMPUR: Berdasarkan sambutan hangat jualan tiket Malam Kalimah Cinta di Istana Budaya yang menampilkan Opick dan Hafiz Hamidun, pada 23 hingga 25 Disember ini, penganjurnya menghadiahkan bonus kepada peminat dengan mengundang sama juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana, bagi menyemarakkan lagi persembahan. Selain penyanyi wanita berkenaan, Mask Team dan Indigital Sdn Bhd turut menampilkan dua lagi artis, Ronnie Hussein dan Lah Ahmad. Jika Siti Nordiana dan Ronnie bakal beraksi pada 23 Disember, iaitu giliran malam persembahan Opick, Lah pula akan tampil pada 24 dan 25 Disember, bersama-sama Hafiz. Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, berkata melihat sambutan terhadap jualan tiket konsert terbabit yang memberangsangkan, mereka bersetuju untuk menawarkan imbuhan istimewa menerusi penampilan ketiga-tiga vokalis berkenaan. "Pastinya, konsert ini yang menampilkan kelainan gabungan penyanyi kontemporari dan ketuhanan memberikan nilai tambah untuk penonton," katanya. Malam Kalimah Cinta menampilkan sisi muzikal istimewa menerusi gabungan nyanyian, zikir dan selawat diiringi persembahan penuh multimedia serta kesan khas dalam pertunjukan selama 90 minit. Opick bakal diiringi kumpulan pemuzik profesional, Tombo Ati, yang dibawa khas dari Indonesia, manakala Hafiz pula akan disertai kumpulan pemuzik handalan di bawah susunan komposisi Faizal Uzir. Tiket masih boleh didapati menerusi tempahan di redtix.airasia.com atau di Istana Budaya. Sebahagian hasil kutipan jualan tiket akan didermakan kepada Tabung Kebajikan Generasi Bersatu Malaysia. |
|