'Jangan jadikan isu kesihatan mental satu stigma, bantu rakan kembali bangkit' - Fahmi
Fahmi (tengah) bersama warga kerja Kementerian Komunikasi bersenamrobik pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Bulan Oktober hari ini. Foto Bernama
PUTRAJAYA: Warga kerja Kementerian Komunikasi digesa untuk tidak menjadikan isu kesihatan mental sebagai satu stigma dan membantu rakan mereka yang terkesan supaya kembali bangkit, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. "Saya tahu sebelum ini saya menyebut (kesihatan mental) bukan untuk menormalkan, tetapi untuk kita membiasakan bahawa pemahaman aspek kesihatan dan psikologi kini lebih mendalam, kita harus melihat dan mendampingi rakan yang mungkin menghadapi tekanan ataupun masalah kesihatan mereka. "Keberadaan kita di samping mereka, akan dapat dan berupaya membantu menangani (tekanan), tugas dapat dilaksanakan, ketenteraman dalam pejabat pun terjaga," katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2024, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata, pendedahan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bahawa terdapat kemungkinan lebih 40,000 kakitangan awam di negara ini berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi dan mental ekoran kegagalan menangani tekanan di tempat kerja, adalah satu perkara cukup membimbangkan. Sempena Hari Sukan Negara, beliau juga mengingatkan warga kerja kementerian turut menjaga kesihatan fizikal termasuk menjalani saringan kesihatan. Fahmi turut meminta agensi penerangan dan penyiaran di bawah kementerian seperti Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan Jabatan Komunikasi Komuniti dapat meningkatkan mesej kepada umum mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309099/jangan-jadikan-isu-kesihatan-mental-satu-stigma-bantu-rakan-kembali
|