Sultan Terengganu lakukan penyelaman saksi kerja melabuh tukun
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan membuat selaman sedalam 17 meter pada perasmian program melabuh tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda Terengganu 2024 di perairan Alur Tuman, Marang, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin meluangkan masa kira-kira satu jam melakukan penyelaman di dasar laut bagi menyaksikan projek melabuhkan tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda di perairan Alur Tuman, Marang, dekat sini, hari ini. Sultan Mizan yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim turut meletakkan plak perasmian pada tukun yang dilabuhkan pada kedalaman kira-kira 17 meter itu. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain. Sebelum melakukan penyelaman, Sultan Mizan menandatangani plak untuk dipasang pada tukun yang akan ditenggelamkan sebelum menaiki bot ke lokasi program.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata kerajaan negeri melabuhkan sebanyak 1,579 tukun tiruan di perairan negeri sejak 2006. Katanya, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM18 juta termasuk peruntukan berjumlah RM5 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek melabuhkan tukun di perairan negeri ini. "Sejak projek melabuhkan tukun dilakukan, jumlah pendaratan sumber hasil laut meningkat sebanyak 39 peratus pada tahun lalu. "Jumlah pendaratan sumber laut termasuk pelbagai jenis ikan adalah sebanyak 33,000 metrik tan (mt) pada tahun 2022 dan meningkat kepada 46,000 metrik tan pada tahun lalu," katanya selepas majlis perasmian program melabuhkan tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda, di sini, hari ini. Dr Azman berkata kerajaan negeri melabuhkan tukun tiruan pada jarak lima batu nautika daripada pantai di perairan negeri ini. Katanya, program pembangunan tukun tiruan dilaksanakan kerajaan adalah penting bagi pengurusan sumber perikanan negeri. "Kita menyasarkan untuk mewujudkan garisan sempadan tukun di sepanjang 244 kilometer jarak pantai di negeri ini. Kita sasarkan untuk melabuhkan satu kelompok tukun tiruan di setiap kilometer kawasan perairan di negeri ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309118/sultan-terengganu-lakukan-penyelaman-saksi-kerja-melabuh-tukun
|