|
Hangatnya Raya bonus dari Hot FM
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
[email protected]
Gambar JEFFRI IRAN
Barisan penyampai Hot FM dan para artis yang sama-sama menjayakan album Hangatnya Raya.
--------------------------------------------------------------------------------
DIAMBANG Aidilfitri kali ini, stesen radio yang popular dengan tagline ‘Lebih Hangat Daripada Biasa’, Hot FM memberi pilihan kepada pendengarnya dengan menerbitkan sebuah album sempena Hari Raya berjudul Hangatnya Raya.
Berkerjasama dengan PMP Artist Management, Astro dan syarikat rakaman Monkey Bone, album tersebut dilancarkan baru-baru ini bertempat di Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, lagu-lagu yang dimuatkan dalam album tersebut sesuai untuk didengari pada bila-bila masa.
“Sentuhan muzik dan gubahan liriknya cukup relevan untuk didengari pada bila-bila masa.
“Sebagai contoh, beberapa buah lagu daripada album tersebut telah pun dimainkan di Hot FM. Ia tidak terhad pada musim perayaan ini sahaja,” jelas Seelan hadir pada majlis pelancaran tersebut.
Tambahnya lagi, penerbitan album tersebut juga bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana lagu raya yang ada.
“Ia dihasilkan hanyalah semata-mata untuk menyerikan lagi perayaan yang disambut bukan sahaja umat Islam, bahkan semua rakyat berbilang kaum di Malaysia ini.
“Penerbitannya diharap mampu menambah ‘warna’ sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Album Hangatnya Raya dimuatkan dengan enam buah lagu yang dinyanyikan oleh kesemua penyampai radio hangat itu iaitu Faizal Ismail, Farah Fauzana, AG, Tini, Leya, Kieran, Anne dan Ikhwan.
Ia diperhangatkan lagi dengan penglibatan artis-artis Monkey Bone dan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) seperti Tomok, Ayu, Shila, Faizal Tahir, Black, Mawi, Akim, Shahir, Aril, Hafiz dan Stacy.
Tambah Seelan lagi, album ini adalah bonus untuk pendengar setia Hot FM. Tidak ketinggalan, khas untuk peminat artis-artis yang terlibat.
“Selain berceloteh di konti dan berlakon, ini merupakan salah satu cabang seni yang mampu ditonjolkan oleh penyampai Hot FM menerusi nyanyian mereka,” ujar Seelan yang suatu ketika dahulu pernah bergelar penyampai radio.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Tiba, Bunga Api Di Hati, Rindu Yang Telah Pergi, Hanya Kerana Cinta, Salam Silaturrahim dan Salam Lebaran.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Shatoy setia menanti
Shahir tak layan gosip murahan |
|