ShareTweet
Syafil Syazwan Jefri
[email protected]
PELAKON popular Mira Filzah mengesahkan dia sudah bertunang dengan kekasihnya Wan Emir Astar yang juga anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid.
Bagaimanapun, Mira ketika ditemui enggan mendedahkan secara terperinci mengenai pertunangannya itu.
"Status sekarang dah bertunang," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran platform digital Nurflix di Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini.
Mira juga tidak menafikan mengenai persiapan majlis perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung Oktober ini.
"Saya dah bersedia (untuk berkahwin) dan kini sedang dalam fasa 'on-going' (persediaan). Kalau berapa peratus persediaan yang sudah dilakukan, saya tak dapat jawab kerana masih di peringkat awal," katanya.
Menurut pelakon filem Sangkar ini, dia akan maklumkan kepada media sekiranya semuanya berjalan dengan lancar.
"Insya-Allah, memandangkan kerajaan pun sudah membenarkan jumlah tetamu untuk majlis perkahwinan adalah 250 orang, tentunya saya akan sediakan tempat untuk rakan-rakan media. Apa-apa pun, saya akan maklumkan sekiranya semuanya sudah siap sedia," katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai desas desus hubungan Mira dan Emir yang dikukuhkan lagi apabila adiknya, Aina Fadhilah memanggil Emir dengan gelaran BIL (brother in law) atau abang ipar.
Terbaru, Mira bakal muncul dalam program terbaru Nurflix, berjudul Mira Mira On The Wall dan akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.