Kuala Lumpur: Persahabatan empat sekawan ini menarik perhatian netizen hingga video dimuat naik Muhammad Izzani Ishaludin, 23, menjadi tular di TikTok.
Apa tidaknya, idea Izzani yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Fizik), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama dua rakan iaitu Nurul Natasha Rashid, 24, dan Khairun Najmiah Mohd Khalid, 24, membuat kejutan dengan memakaikan jubah konvokesyen kepada seorang lagi rakan mereka, Muhammad Aliff Aiman Ahmad, 24, yang dimasukkan ke hospital mengundang sebak pengguna laman sosial itu.
Izzani berkata, Aliff sepatutnya bergraduasi pada 27 November bersama Nurul Natasha dan Khairun Najmiah disahkan menghidap demam denggi berdarah hingga mengakibatkan bahagian usus perut mengalami kebocoran.
"Mereka bertiga dari program sama iaitu Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL). Namun, Aliff saja tidak ada rezeki nak naik pentas sebab dia dimasukkan ke Hospital Ampang akibat demam denggi berdarah.
"Sebelumnya, dia sudah mengalami muntah berdarah dan demam panas, tapi dia ingatkan sakit biasa. Apabila dia pergi membuat pemeriksaan, doktor beritahu terdapat keradangan pada paru paru dan ada kebocoran di bahagian usus perut. Muntah berdarah itu disebabkan oleh denggi.
"Pada awalnya saya seorang saja nak pergi melawat sebab dua lagi rakan dah nak kena balik kampung. Nak dijadikan cerita, pada hari saya nak pergi, Khairun Najmiah nak pergi pulangkan jubah di UKM dan secara kebetulan dia melalui kawasan Ampang. Itu yang saya minta dia singgah ke hospital," katanya.
Menurutnya, Aliff terharu dan sebak kerana tidak menjangka dapat juga memakai jubah konvokesyen biarpun dalam keadaan dirawat di hospital.
"Dia tahu saya nak datang melawat, tapi kemudian cakap tak jadi datang. Memang nak berikan kejutan kepadanya. Apabila tengok kami bertiga naik melawat, dia terkejut dan sedih. Apatah lagi ketika itu dia ditempatkan di bahagian pemantauan.
"Jadi, selama dia ditahan wad, keluarga dan rakan tak boleh melawat secara dekat. Tengok dari jauh saja. Tapi masa kami datang, saya minta izin jururawat untuk pakaikan dia jubah. Apabila buat pemeriksaan Covid-19, dia negatif. Cuma tak dipindahkan wad lagi sebab belum ada kekosongan. Pada hari sama juga sebenarnya dia dibenarkan keluar hospital.
"Bertambah sedih apabila konvokesyen ke-50 UKM tahun ini adalah meraikan Jubli Emas.
Dia nak juga menjadi graduan Jubli Emas. Siapa pun akan sedih kalau berada di tempatnya. Sepanjang pengajian sudah bertungkus lumus. Dari 2018, kami belajar bersama, buat kerja sama, program bersama, tapi dia tak ada rezeki nak konvo," katanya.
Menurutnya lagi, video yang dimuat naik itu sebagai tanda penghargaan buat sahabatnya baiknya itu.
"Tujuan saya buat video itu sebab, masa awal hari konvokesyen saya ada buat video meraikan hari gembira itu dengan kawan-kawan lain, tapi dengan dia tiada. Jadi macam tak 'best'.
"Itu yang saya buat video berasingan dengan pergi melawat dia dan pakaikan jubah. Kalau boleh tak nak dia rasa terpinggir. Kiranya itu juga video penghargaan untuk dia," katanya.