KUALA LUMPUR: Pemerkasaan penguatkuasan undang-undang yang setimpal kepada individu melakukan penderaan kepada kanak-kanak, perlu dilaksanakan dengan sewajarnya.
Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan, Datuk Jamelah A Bakar, berkata pendera yang bersalah perlu dikenakan hukuman berat untuk mengingatkan masyarakat supaya mengelak melakukan jenayah berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama kepakaran dan sumber daripada sektor kerajaan serta swasta boleh mendatangkan impak besar bagi mengatasi masalah penderaan kanak-kanak yang kerap dilaporkan berlaku sekarang.
"Kanak-kanak berhak mendapat perlindungan dan penghormatan, jadi isu kesejahteraan serta kebajikan mereka perlu diutamakan.
"Sebagai anggota masyarakat yang celik undang-undang, kita mesti melaksanakan tanggungjawab sosial apabila melihat dan mengetahui berlaku pelanggaran hak anak-anak ini.
Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR PEMADAM Kebangsaan, Datuk Jamelah A Bakar.
"Pendedahan ahli masyarakat kepada talian 999, Talian Kasih 15999 (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Talian HEAL 15555 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) perlu sentiasa dihebahkan.
"Ini langkah terpantas boleh kita ambil apabila berdepan situasi penderaan, pencabulan dan lain-lain kes berkaitan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 27 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mati didera ahli keluarga terdekat dalam kejadian di Johor. Mangsa dijaga kakak kandungnya selepas ibu bapanya dipenjarakan kerana kesalahan dadah.
Pada 12 Disember lalu pula, seorang bapa mendera dan membunuh anak perempuannya berusia sembilan tahun dan menanam mayat mayat di tepi jalan di Taman Dusun, Jalan Bellamy Kuala Lumpur.
Jamelah berkata, semua pihak sama ada pemimpin politik, komuniti dan institusi agama perlu turun ke lapangan dan prihatin dengan tekanan dihadapi rakyat.
Katanya, pada masa sama, pemimpin negara dan negeri bertanggungjawab menggerakkan agensi berkaitan untuk memberi sokongan ekonomi dalam komuniti supaya setiap keluarga mempunyai sumber pendapatan mencukupi bagi membiayai seluruh keluarga.
"Tekanan kehidupan akibat kurang sumber kewangan menjadi antara faktor menyebabkan mereka melepaskan geram dan amarah kepada anak-anak.
"Isu penderaan fizikal, mental dan impak penagihan dadah juga tidak boleh diserahkan semuanya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau Jabatan Pendidikan serta Jabatan Kesihatan," katanya.
Sementara itu, Jamelah berkata, pihak bertanggungjawab atau yang diberi amanah menjaga kanak-kanak dan berasakan tidak berupaya menguruskan mereka lagi, perlu tampil memaklumkan perkara itu kepada JKM untuk memaklumkan situasi sebenar.
Beliau berkata, ia bagi mengelak kanak-kanak menjadi mangsa perbuatan tidak sepatutnya.
Selain itu, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) dan JKM juga boleh mempertingkatkan kerjasama dalam memantau kanak-kanak ditempatkan di bawah jagaan waris apabila ibu bapa mereka dipenjarakan.
"Perubahan emosi dan fizikal kanak-kanak boleh dikesan guru atau pegawai berkaitan dan tindakan segera boleh dilaksanakan demi keselamatan individu terbabit.
"Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara yang didukung JKM bertanggungjawab memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.
"Dasar ini boleh berfungsi sepenuhnya apabila rakyat berupaya menjadi pemangkin untuk mempertingkatkan kesedaran dan komitmen semua pihak dalam melindungi kanak-kanak," katanya.
Susulan itu, katanya, semakan terhadap dasar itu dan pemantauan pelaksanaannya perlu diteliti supaya nyawa kanak-kanak terpelihara.
Jamelah berkata, gerakan advokasi bagi menerap dan memupuk kesedaran kepentingan melindungi kanak-kanak juga perlu dilaksanakan secara berkala dalam kalangan komuniti setempat bersama badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.