27 anggota MPP, Ahli Parlimen PKR tegur Anwar
KUALA LUMPUR: Seramai 27 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen PKR mendesak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan perpaduan parti dalam isu video lucah yang dikaitkan dengan menteri. Mereka juga tidak setuju dengan kenyataan Anwar semalam yang menyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perlu melepaskan jawatan kerajaan sekiranya video berkenaan tulen.
Dalam satu kenyataan bersama pagi ini, mereka juga menegaskan kenyataan Anwar itu tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi.
Kata mereka selaku Presiden PKR, Anwar sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Mohamed Azmin.
“Beliau (Anwar) juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.
“Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau (Anwar) telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.
“Justeru berdasarkan penafian tegas Mohamed Azmin berkaitan hal ini, Presiden (Anwar) sewajarnya mempertahankan timbalannya demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.
Mereka juga mengingatkan Anwar bahawa kepemimpinan PKR mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011, Ketua Polis Negara mengumumkan video seks terbabit adalah tulen
Mendahului senarai 27 Ahli MPP dan Ahli Parlimen PKR yang mengeluarkan kenyataan bersama berkenaan ialah empat Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Ali Biju dan Dr Xavier Jayakumar.
Ahli Parlimen PKR yang turut mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Steven Choong (Tebrau); Jonathan Yasin (Ranau); Willy Mongin (Puncak Borneo) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).
Malah, mereka menegaskan Mohamed Azmin secara konsisten mempertahankan Anwar dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan politik kotor.
“Maka, kami ingin menegaskan bahawa PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden.
“Kami akan bersama Mohamed Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.
“Kami menggesa Anwar selaku Presiden PKR untuk berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti.
“Kami menyeru Presiden untuk segera menggembleng perpaduan anggota demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini,” kata mereka.
|