JAKARTA 4 Nov. - Filem Hanyut arahan sutradara tersohor Malaysia, U-Wei Saari menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan di 150 buah pawagam di seluruh Indonesia bermula 6 November ini.
Hanyut yang diubah tajuk menjadi Gunung Emas - Almayer (untuk pasaran Indonesia) tidak sekadar mencatat rekod tersebut, sebaliknya, ia juga bertentangan dengan trend tayangan apabila menemui peminat filem di negara jiran itu terlebih dahulu berbanding di pawagam Malaysia. Filem yang menelan kos pembikinan sebanyak RM18 juta itu difahamkan belum dipastikan bila akan ditayangkan di tanah air memandangkan syarikat produksi Tanah Licin Sdn. Bhd., masih dibelenggu masalah kos promosi yang mencecah angka RM2 juta. Pengedar filem Hanyut atau Gunung Emas - Almayer untuk pasaran Indonesia, Rahayu Saraswati berkata, kesediaan beliau memasarkan filem itu didorong oleh keyakinannya terhadap kehebatan naskhah yang digarap oleh U-Wei. Rahayu yang juga pengasas syarikat pengedaran filem, Media Desa berkata, Gunung Emas-Alma-yer yang dihasilkan setanding filem antarabangsa berpeluang menjadi karya yang akan membuka mata pencinta filem dunia terhadap kemampuan penggiat filem Asia. Katanya, Gunung Emas - Almayer yang diterbitkan secara kerjasama antara pelbagai negara seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, Indonesia dan Malaysia harus menjadi tontonan seluruh masyarakat dunia kerana menggabungkan bakat-bakat seni luar biasa dari pelbagai negara. Rahayu berkata, kesungguhannya membawa filem itu ke pasaran Indonesia juga adalah kerana kekaguman beliau terhadap pembikin filem Asia khususnya U-Wei yang mampu menggarap sebuah naskhah yang luar biasa. “Atas keyakinan itu saya bersetuju untuk membawa Gunung Emas-Almayer ke Indonesia. Filem arahan U-Wei ini memecah tembok kehebatan filem dunia yang selama ini didominasi oleh orang asing. “U-Wei membawa satu perspektif baharu ke dalam filem Melayu melalui Gunung Emas - Almayer dan saya secara peribadi berpendapat amat rugi seandainya ia tidak ditayangkan di Indonesia,” kata Rahayu kepada Utusan Malaysia selepas majlis tayangan perdana Gunung Emas - Almayer di sini semalam. Rahayu berkata, selain sudah ditayangkan di AS dan Kanada, beliau juga akan memasarkan Gunung Emas - Almayer ke 50 negara lain di seluruh dunia. Gunung Emas - Almayer atau Hanyut dibintangi Peter O’Brien dari Australia, Sofia Jane, Adi Putra, Diana Danielle, Khalid Salleh dan Bront Palare (Malaysia) serta Alex Komang dan Rahayu (Indonesia). – UTUSAN Filem yang memulakan penggambaran sekitar tahun 2010, siap sepenuhnya 2012 diangkat ke layar perak oleh U-Wei berdasarkan novel pertama Joseph Conrad berjudul Almayer’s Folly. Ia mengisahkan Almayer, pedagang dari Belanda yang berjuang untuk hidup di Malaya pada akhir abad ke-19 yang menyimpan keinginan mencari mitos gunung emas yang ditentang isterinya, Mem. Sementara itu, U-Wei memberitahu, naskhah Gunung Emas - Almayer atau Hanyut memerlukan sokongan seluruh peminat filem tidak hanya di Malaysia atau Indonesia, semata-mata. Sehubungan itu, U-Wei berkata, sekalipun Gunung Emas - Almayer ditayangkan di Indonesia terlebih dahulu berbanding Malaysia, namun beliau secara peribadi berharap filem terbaharu arahannya itu juga akan ditayangkan di pawagam di tanah air. – UTUSAN
|