KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang, laut bergelora, hujan lebat dan ribut petir bermula hari ini sehingga 9 Mei.
METMalaysia dalam kenyataan hari ini, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat, Terengganu, Kelantan dan Sabah Timur sehingga jam 2 petang Isnin ini.
"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.
"Bagi perkapalan (kategori kedua), amaran angin kencang barat daya berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan Phuket sehingga 9 Mei," katanya.
METMalaysia berkata, angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan serta pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
"Amaran angin kencang (Kategori pertama) tenggara berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Selat Melaka Utara sehingga 9 Mei.
"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut serta sukan laut," katanya.
Katanya, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka, Samui, Utara Tioman, Timur laut Reef North , Layang-Layang, Palawan dan Sulu.
Keadaan itu, katanya, boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil.
"Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang juga dijangka di Pahang (Bera dan Rompin), Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin), Melaka dan Johor (Batu Pahat dan Pontian) sehingga jam 1 tengah hari Isnin ini," katanya.
Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web
www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.