|
|
Abby Abadi Anggap Usia Suami Punca Keretakkan Rumahtangga
29 May 2014, 02:59pm | Ridhatul Rizki Sayuti

Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 37, menganggap usia bekas suami masih terlalu muda sebagai faktor keretakan rumahtangga mereka. Jelas Abby, dia tidak menyalahkan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, apabila bekas suaminya itu menceraikannya melalui SMS.
“Bagi saya dia terlalu muda untuk meletakkan diri dia bersama saya. Ketika saya seusia dia pada satu masa dulu, banyak lagi perkara yang saya tak faham. Tapi apabila jadi macam ni, kita muhasabah diri dan tak perlu salahkan sesiapa. Masing-masing buat silap dan ada kelemahan,” ujar Abby ketika ditemui selepas dia membuat permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada Khamis.
Walaupun mengenali bekas suami dalam tempoh yang singkat sebelum bersetuju untuk disatukan, namun Abby tidak menyesal mengahwini lelaki yang jauh lebih muda daripadanya itu. Malah, jelas Abby dia lebih bersyukur kerana Allah meminjamkan bekas suaminya walau hanya untuk sementara.
“Saya tak pernah menyesal mengahwini dia. Sebenarnya kita hidup di dunia ini, atas pinjaman Allah. Dia boleh ambil apa saja dan bila-bila masa. Saya bersyukur Allah pinjamkan dia kepada saya walau dalam masa yang singkat. Saya pun tak pernah berharap ia akan jadi sesingkat ni,” kata Abby.
Tambah pelakon drama ‘Gerak Khas’ ini, dia sebenarnya masih menyayangi bekas suami itu, namun redha dengan segala ketentuan Ilahi.
“Saya sayang sangat pada dia tapi saya tak nampak jalan penyelesaian. Saya dah usaha dan berdoa pada Allah. Jadi apa saja yang Allah takdirkan, itulah yang terbaik untuk saya,” katanya mengharap semoga perkara ini boleh jadi pengajaran kepada masyarakat.
“Saya melihat keadaan ini dalam sesebuah rumahtangga, kalau bergaduh, jangan berpisah. Masalah mungkin boleh diperbaiki kalau masing-masing berkomunikasi dan ada sifat mahu mengalah. Jika berjauhan, masalah akan jadi lebih besar,” kongsi Abby yang sudah tidak tinggal sebumbung dengan Farhan sejak menerima SMS cerai oleh Farhan pada 9 Mei lepas.

“Sejak dia hantar SMS itu, dia tak balik rumah dan saya tiada kesempatan untuk berbincang dengan dia. Benda ni dah diluar bidang kuasa saya. Saya nak perbaiki pun saya tak mampu. Saya tak ada peluang dan ruang. Dia tak bagi saya peluang tu. Kalau dia memang dah tak mahu hubungan ni, saya pun tak mahu bebankan dia,” ujarnya.
Abby yang datang ke mahkamah secara berasingan dengan Farhan bagi menfailkan pengesahan lafaz cerai yang dibuat oleh Farhan melalui SMS. Namun perbicaraan digantung buat sementara waktu memandangkan sebelum itu Farhan pernah memberitahu rakan-rakannya bahawa dia sudah bercerai dengan Abby. Pasangan itu tidak menfailkan pengesahan lafaz cerai yang pertama kerana mengharap masih ada ruang untuk memperbaiki hubungan mereka.
“Lafaz cerai pertama oleh Farhan pada kawan-kawannya bahawa kami sudah bercerai. Waktu itu sekitar bulan Januari. Saya tahu pun, kawan dia yang bagitahu saya. Kami tak mahu besarkan hal itu sebab berharap dapat betulkan semula keadaan. Tapi apabila saya rujuk pada bapa saudara saya yang merupakan seorang ulamak, menurut beliau sudah jatuh talak. Saya pun tak pasti sebab saya tak arif tentang hal ini. Apa pun saya tunggu keputusan mahkamah,” katanya mengakhiri bicara.
Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai tahun lepas di Selatan Thai dan telah disahkan di Kelantan.
Credits: gua.com.my
@dino Last edited by achik2009 on 29-5-2014 05:46 PM
|
|