KOTA BHARU: Bekalan minyak masak subsidi Malaysia dikatakan tidak pernah terputus di Golok, Thailand selain senang didapati terutama di pasar negara berkenaan.
Minyak berkenaan dijual RM6.80 hingga RM7 sepaket, tinggi sedikit berbanding ini RM5.80 hingga RM6 sebelum ini.
Malah, penduduk mendakwa hampir setiap rumah di pekan Golok mempunyai bekalan minyak subsidi Malaysia berikutan harganya jauh lebih murah berbanding minyak masak keluaran negara itu.
Penduduk di Golok, Thailand yang mahu dikenali sebagai Imah, 44, mengakui menggunakan minyak masak dari Malaysia untuk keperluan harian.
"Sejak dulu lagi kami guna minyak masak dari Malaysia sebab murah.
"Minyak masak Malaysia hanya RM7, minyak masak Thailand RM9.50 sekilogram. Sudah tentu kami pilih yang lebih murah.
"Kami tak tahu sama ada salah atau tidak untuk minyak ini dibawa masuk ke Thailand sebab memang sudah lama ada di sini," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mereka menganggap jika penduduk Thailand menggunakan minyak masak Malaysia, orang Malaysia makan beras dari Thailand.
"Bekalan tiada masalah kerana mudah dibeli di pasar pagi dan tidak pernah terputus," katanya.
Seorang penduduk, Aziz Mohamad, mendakwa minyak masak paket subsidi Malaysia dijual secara terbuka di kedai runcit dan pasar pagi.
"Tiada halangan nak beli berapa paket, jika ada duit banyak nak beli 50 paket pun tiada masalah.
"Saya tidak tahu bagaimana minyak subsidi di Malaysia dibawa masuk ke Thailand, namun yang pasti minyak ini senang diperoleh dan sentiasa ada di sini," katanya.