Kuala Lumpur: Dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) 2022 dijangka pada kadar hampir sama dengan tahun lalu walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2022 (S3 2022) mencatat pertumbuhan 14.2 peratus, kata pakar ekonomi.
Untuk rekod, agihan ASB 2021 bagi dividen adalah 4.25 sen dan bonus 0.75 sen seunit yang diumumkan tahun lalu.
Profesor Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, beliau tidak melihat akan berlakunya kenaikan atau penurunan yang signifikan dalam agihan dividen ASB 2022.
"Faktor ketidaktentuan ekonomi global dan Malaysia juga masih berhadapan beberapa krisis tahun ini terutamanya membabitkan makanan dan kenaikan harga barang yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir serta kesan berterusan inflasi di peringkat global.
"Krisis berterusan sepanjang 2022 yang tidak berhenti ini boleh menjadi satu indikator jelas bahawa ia sememangnya memberikan kesan kepada kadar dividen ASB itu sendiri.
"Ini kerana faktor berkenaan turut memberikan implikasi kepada pelaburan secara keseluruhannya. Krisis ekonomi berterusan 2022 dan dijangka berlanjutan bahkan dijangka lebih mencabar pada tahun depan (2023)," katanya.
Beliau berkata, andai kemungkinan berlaku peningkatan kadar agihan dividen dan bonus ASB itu, ia sedikit saja dan begitu juga jika berlaku penurunan.
Difahamkan jam 10 pagi 21 Disember ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengumumkan pengagihan pendapatan (dividen) dan bonus berkadaran sen seunit bagi skim ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Rekod terdahulu mendapati, pelabur ASB menerima 4.25 dividen dan 0.75 bonus pada 2021, terdahulu pada 2020 dividen adalah 3.50 dan bonus 0.75 manakala pada tahun 2019 merekodkan dividen 5.00 serta bonus 0.50.