KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil pendekatan menyekat pengikut yang bertindak biadap melemparkan pelbagai komen negatif di laman sosial, Instagram (IG).
Menurut Siti, 39, tindakan itu dibuat bagi menjaga keharmonian dan tidak mahu emosinya terbawa-bawa dengan aura negatif pengikut terbabit.
"Kalau komen yang ditinggalkan itu negatif, tetapi membina, saya boleh terima. Selalunya, mereka yang melontarkan komen sebegitu sengaja melakukannya untuk memancing emosi saya.
"Daripada terikut-ikut dengan permainan mereka, lebih baik saya sekat awal-awal. IG saya ibarat rumah dan saya perlu jaga keharmoniannya," katanya kepada BH Online.
SITI Nurhaliza ikut nasihat suami batasi perkongsian wajah anak di laman sosial. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Siti berkata demikian sebagai mengulas komen negatif yang diterimanya apabila memuat naik rakaman video anaknya, Siti Aafiyah di spa bayi, baru-baru ini.
Rata-rata netizen menganggap tindakan penyanyi Comel Pipi Merah itu sebagai tidak sesuai dan membahayakan anaknya yang berusia empat bulan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Siti yang ditemui pada majlis pelancaran Simplysiti Gold Edition di Menara KL, di sini, hari ini turut membataskan perkongsian wajah anaknya di laman sosial atas nasihat suami.
"Kata suami, kalau terlalu kerap muat naik, pasti akan ada yang mengata. Biasalah manusia, tidak semua perkara dilihat dari sudut positif.
"Muat naik benda yang baik sekalipun, pasti akan ada yang mengata. Jadi, Siti ikut saranan suami kerana itu yang terbaik,"