MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER Sehingga 18 Januari 2021, terdapat sebanyak 660 kluster telah dilaporkan termasuk sembilan (9) kluster baharu pada hari ini. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 361 kluster, termasuk dua (2) kluster yang tamat pada hari ini di Sabah iaitu Kluster Mesra dan Kluster Samudera. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 299 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Muda (217 kes), Kluster Tapak Bina Perdana Avenue (145 kes), dan Kluster Tapak Bina Casuarina (76 kes). KLUSTER BAHARU KKM juga ingin memaklumkan terdapat sembilan (9) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu: - KLUSTER TAMAN TASIK SUNGAI CHUA
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 18 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah pasar raya. Nama kluster merujuk kepada kediaman kes-kes dalam kluster ini iaitu di Taman Tasik Sungai Chua, Kajang, Selangor. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 147 individu telah disaring, di mana 60 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. - KLUSTER KOMPLEKS SEGAMAHA
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kinabatangan di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-152949) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Januari 2021 hasil saringan di tempat kerja. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja ladang kelapa sawit di Kompleks Segamaha, Kinabatangan, Sabah. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 250 individu telah disaring, di mana 58kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. - KLUSTER JALAN BUKIT BENDERA
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kota Kinabalu, Papar, dan Beaufort di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-125850) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah institusi awam yang terletak di Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 100 individu telah disaring, di mana 20 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kluster ini melibatkan sebuah pusat perubatan swasta yang terletak di Jalan Suria, Johor Bahru, Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-157417) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 686 individu telah disaring, di mana 24 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. - KLUSTER TAPAK BINA JALAN NIPAH
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 18 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan di Jalan Nipah, Titiwangsa. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 517 individu telah disaring, di mana 29 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. - KLUSTER TAPAK BINA ERA DUTA
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 18 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan di Jalan Dutamas, Kepong. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 420 individu telah disaring, di mana 20 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kluster ini melibatkan daerah Pasir Puteh di Kelantan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-135920) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh, Kelantan. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 27 individu telah disaring, di mana sembilan (9)kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-127007) merupakan seorang pekerja kilang yang telah dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kilang tersebut di Jalan TJ, Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 129 individu telah disaring, di mana 39 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kluster tempat kerja ini melibatkan sebuah kafe pusat rekreasi di Genting Highlands, Bentong, Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-118989) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 3 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 104 individu telah disaring, di mana 31 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. PAKEJ BANTUAN PERLINDUNGAN EKONOMI DAN RAKYAT MALAYSIA (PERMAI) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pengumuman oleh YAB Perdana Menteri mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sebagai inisiatif dalam memerangi wabak COVID-19 di Malaysia. Sejajar dengan usaha proaktif ini, beberapa perkara telah dilaksanakan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara dalam usaha melicinkan lagi pengurusan COVID-19 di negara kita. - PENGURUSAN COVID-19 DI MALAYSIA
Sejajar dengan perkembangan maklumat terkini yang diperolehi mengenai COVID-19 sama ada di Malaysia atau di peringkat global, KKM sentiasa mengemaskini pengurusan kes COVID-19 di Malaysia. Bagi kes yang telah disahkan positif COVID-19, pengurusan kes boleh dilaksanakan di tempat kediaman berdasarkan penilaian awal yang dijalankan oleh petugas kesihatan COVID-19 Assessment Centre (CAC). Kriteria kes positif COVID-19 yang dipertimbangkan untuk pengasingan diri di tempat kediaman adalah seperti berikut: - Tidak mengalami sebarang gejala atau mengalami gejala ringan;
- Bukan daripada golongan berisiko tinggi, contohnya warga emas dan pesakit kronik;
- Mempunyai penjaga yang sesuai; dan
- Kesesuaian tempat kediaman bagi tujuan pengasingan diri.
KKM menasihati agar mana-mana individu yang telah dimaklumkan positif COVID-19 untuk sentiasa berada di rumah dan boleh dihubungi setiap masa. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh kes positif COVID-19 yang berada di rumah; - Duduk di bilik yang berasingan daripada penghuni yang lain. Sebaik-baiknya bilik tersebut mempunyai kemudahan bilik air. Jika terpaksa berkongsi bilik air, bersihkan permukaan yang disentuh seperti tombol pintu, pili air, dan peralatan lain setiap kali selepas digunakan;
- Elakkan interaksi secara bersemuka dengan penghuni yang lain. Sekiranya tidak dapat dielakkan, pastikan kedua-dua pihak memakai pelitup muka;
- Laporkan status kesihatan terkini kepada petugas kesihatan atau melalui aplikasi MySejahtera setiap hari;
- Jika gejala bertambah teruk, hubungi COVID-19 Assessment Centre (CAC) atau Klinik Kesihatan yang terdekat atau hubungi talian 999 bagi kes kecemasan;
- Kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer;
- Amalkan etika batuk yang betul iaitu menutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk atau bersin;
- Buang tisu dan pelitup muka yang telah digunakan ke dalam bungkusan yang diikat sebelum dibuang ke dalam tong sampah serta segera mencuci tangan;
- Cuci peralatan yang digunakan untuk makan dan minum sebelum digunakan semula;
- Pastikan pengudaraan rumah yang baik dengan membuka tingkap; dan
- Tidak menerima pelawat.
Untuk makluman, kontak rapat kepada kes positif perlu menjalani kuarantin atau pengasingan sama seperti yang diamalkan sebelum ini. Keutamaan untuk menjalani ujian swab COVID-19 diberikan kepada mereka yang bergejala. Ini berikutan kemungkinan ujian swab COVID-19 tidak dapat dijalankan untuk semua kontak rapat khususnya di sesetengah daerah atau negeri yang mempunyai bebanan kes yang amat tinggi. Penekanan perlu diberikan kepada usaha mengasingkan semua individu yang terdedah kepada kes positif daripada menjangkiti individu lain. Kuarantin ini tertakluk kepada tempoh 10 hari dengan mengambilkira tahap kebolehjangkitan adalah sangat rendah selepas tempoh tersebut. - KERJASAMA KKM DAN HOSPITAL SWASTA
Kerajaan komited untuk mengukuhkan kerjasama di antara sektor kesihatan awam dan swasta dalam menangani pandemik COVID-19. Antara kerjasama yang telah dijalankan sepanjang pandemik ini adalah melalui inisiatif menggunakan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta dan kerjasama ini akan terus dipergiatkan lagi. Baru-baru ini, KKM telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pemegang taruh hospital swasta termasuk Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan beberapa syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menentukan halatuju pengurusan pandemik COVID-19 negara. Sukacita dimaklumkan bahawa hasil perbincangan tersebut, Kerajaan telah memperoleh komitmen daripada beberapa buah hospital swasta untuk menerima rujukan dan merawat pesakit COVID-19, bergantung kepada kapasiti dan kepakaran yang sedia ada. Sehingga kini, pihak APHM telah mengenal pasti sebanyak 1,138 buah katil termasuk 70 buah katil kritikal di 97 buah hospital swasta di seluruh negara. KKM melalui CPRC Perkhidmatan Hospital dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sedang memperhalusi mekanisma cadangan kerjasama ini dengan lebih lanjut bersama pihak APHM, Kementerian Kewangan Malaysia serta Bank Negara Malaysia dan segala perkembangan akan diumumkan dalam masa yang terdekat. KKM berharap kerjasama dan usaha yang dijalankan oleh semua pihak ini akan dapat memutuskan rantaian jangkitan dan penularan COVID-19 di negara kita.
|