Petaling Jaya: Penyanyi, Aina Abdul dan pelakon, Anna Jobling antara 10 artis yang mendapat Top 10 undian tertinggi pada Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35) yang diumumkan dalam Sidang Media Pra Kemuncak acara itu, di sini, malam tadi.
Artis lain yang turut tersenarai ialah Amir Masdi, Bell Ngasri, Ben Amir, Ernie Zakri dan Khai Bahar.
Selain itu, Meerqeen; Sharifah Rose dan Siti Nordiana turut tersenarai.
Pengarah ABPBH35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, senarai Top 10 yang diumumkan itu adalah berdasarkan susunan abjad nama dan bukan undian semasa.
Menurutnya, ABPBH35 yang bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 Julai ini memilih tema Ekspresi Legasi Seni.
"Sesuai dengan tema Ekspresi Legasi Seni, kami memilih lokasi ekslusif untuk ABPBH35 iaitu bertempat di Istana Budaya," katanya.
Pada majlis itu, pelakon Ain Edruce dan penyampai radio Hot FM, Johan dipilih selaku pengacara utama. Sementara, Fizi Ali (Hot FM) dan pelakon Riena Diena sebagai hos karpet merah.
Penonton juga bakal dihiburkan dengan persembahan menarik daripada barisan penyanyi terkenal tanah air antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza; Datuk Ramli Sarip; Datuk Yusni Hamid; Aina Abdul, Dayang Nurfaizah; Haziq Rosebi; Sufian Suhaimi; Luca Sickta; dan ramai lagi.
Turut hadir pada acara Pra Kemuncak ABPBH35 ialah Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Program dan Penyiaran TV3, Siti Nurlisia Mohd Nadzri dan Timbalan Pengarah Kumpulan Rangkaian Kandungan Radio, Media Prima Audio (MPA), Shah Hayatudin.