Shazleen Anis – Disimbahi kemewahan & kasih sayang
Bertuah rasanya apabila dilahirkan dalam sebuah keluarga berada. Dari hujung rambut hingga hujung kaki semuanya dijaga rapi. Bahkan Anis sendiri berkongsi cita rasa fesyen bersama mummynya. “Saya suka gaya terkini tetapi biar kena dengan penampilan dan nampak cantik. Banyak juga fesyen baru yang memang terkini tetapi kurang sesuai dengan jiwa. Kebanyakan trend ini saya lihat di dalam majalah dan Internet. Sedikit sebanyak sumber ini menjadi ilham untuk saya memilih pakaian,” katanya.
Sesuai dengan selera mudanya, kunjungan Anis ke pusat membeli-belah hampir tiga kali seminggu adalah kepuasan untuknya memilih dan memerhati trend terkini. “Hujung minggu adalah satu kemestian untuk saya dan keluarga meluangkan masa. Adik-beradik saya ramai perempuan jadi semestinya kami akan membeli pakaian dan kasut untuk memenuhkan wardrobe di rumah! Bukan sahaja saya dan adik-adik malah mummy pun akan turut sama memilih. Biasanya kami tak tetapkan bajet untuk perbelanjaan, asalkan cantik di mata dan tidak membazir, semuanya okey!” Seronok mendekati Anis dan Datin Karen. Hubungan mereka cukup akrab malah mereka seperti sahabat karib. Sempat juga penulis bersembang dengan Datin Karen. Keramahan yang ada dalam diri Anis pastinya datang dari Datin Karen kerana tidak puas rasanya kami berborak. “Anak-anak boleh memilih apa yang mereka mahu kerana saya sendiri suka bergaya sejak dari dulu. Walau ke mana pun saya pergi, saya mesti bersiap. Pernah juga saya hanya bersanggul tanpa secalit solekan di wajah, seorang teman seakan tidak percaya itu adalah saya. Saya pula langsung tidak memandangnya kerana bimbang diketawakan. Sejak itu, setiap kali saya keluar rumah, saya pastikan penampilan saya sempurna. Dalam berfesyen, saya dan Anis mempunyai cita rasa yang sama. Kami sama-sama bertukar pendapat pada apa yang cantik, dan apa yang tidak. Sesekali ada juga beg tangan atau kasut daripada jenama antarabangsa saya kongsi padanya, itu pun tidak semua kerana mereka tak cermat! Dress pun ada yang kami kongsi. Mujur saiz badan kami lebih kurang sama!” kata Datin Karen. Begitulah cerita tentang cinta jelitawan ini terhadap fesyen. Seakan menjadi lumrah buatnya untuk sentiasa mengikuti perkembangan berkaitan fesyen. Tidak hanya terhenti di sini bahkan ibu dan anak ini juga mengambil peluang untuk bercuti bersama-sama setiap tahun hanya untuk membeli-belah. Hampir setiap tahun, mereka sekeluarga akan merancang percutian ke luar negara terutamanya apabila tiba musim cuti sekolah. Antara destinasi pilihan adalah Tokyo dan London. “Tujuan utama untuk pergi bercuti adalah membeli-belah. Baik saya mahupun mummy, masing-masing dah merancang lebih awal apa yang ingin dibeli di sana. Kalau mummy, dia lebih suka barangan berjenama mewah tetapi saya memilih jenama yang lebih murah tetapi masih ada kelas tersendiri. Kami memang keluarga yang suka membeli-belah!” Koleksi Prada, Chanel, Gucci, Salvatore Ferragamo, Versace dan Louis Vuitton dibawa keluar satu per satu. Semuanya masih tersimpan rapi dalam beg pembalut. “Ada di antara koleksi ini dibeli di luar negara dan setengahnya juga kami beli di sini sahaja. KLCC adalah tempat kegemaran kami setiap hujung minggu selain Pavilion,” ujar Datin Karen.
|