|
COVID-19: Kes harian baharu bawah 2,000 sepanjang minggu
KUALA LUMPUR: Lebih sebulan selepas kerajaan melonggarkan Protokol Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19, kadar jangkitan baharu harian terus terkawal dan berada di bawah paras 2,000 kes sepanjang minggu di antara 28 Mei hingga 3 Jun.
Semalam, sebanyak 1,844 kes harian baharu dilaporkan dan daripada jumlah itu, Selangor menyumbang sebanyak 813 kes, diikuti WP Kuala Lumpur 375 kes, Perak 129 kes, Negeri Sembilan 112 dan Pulau Pinang 111 kes.
Negeri-negeri lain - Melaka 65 kes, Sabah 51 kes, Kedah 44 kes, Johor 39 kes, Sarawak 28 kes, WP Putrajaya 26 kes, Pahang 19 kes, Kelantan 14 kes, Terengganu 13 kes dan Perlis 5 kes.
WP Labuan mencatat sifar kes semalam.
Berikut kes harian baharu COVID-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (28 Mei hingga 3 Jun 2022):-
28 Mei (1,645), 29 Mei (1,155), 30 Mei (1,325), 31 Mei (1,451), 1 Jun (1,809), 2 Jun (1,877) dan 3 Jun (1,844).
Dengan 1,844 kes harian baharu, kes kumulatif COVID-19 Malaysia kini sebanyak 4,512,040.
Sebanyak 2,005 kes sembuh COVID-19 dilaporkan semalam, menjadikan kes kumulatif sembuh setakat pukul 11:59 malam 3 Jun 2022 sebanyak 4,453,313 kes.
Secara keseluruhannya, untuk tempoh seminggu (28 Mei hingga 3 Jun 2022), kes harian baharu COVID-19 dalam negara menyusut sekitar 17 peratus kepada sebanyak 11,106 kes berbanding 13,449 kes untuk tempoh yang sama (21 Mei hingga 27 Mei).
Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama ini juga, hanya terdapat dua (2) kluster baharu iaitu pada 31 Mei, kategori kumpulan berisiko tinggi (Kluster Jalan Broga), melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor dengan 23 kes positif COVID-19. Satu lagi kluster, pada 2 Jun (pendidikan - Kluster Jalan Ipoh), melibatkan daerah Titiwangsa, Kepong di WP Kuala Lumpur dengan 34 kes positif COVID-19.
https://www.bharian.com.my/berit ... 00-sepanjang-minggu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|