TIGA bulan selepas diceraikan merupakan perjalanan yang cukup mendebarkan. Bukan sahaja terpaksa memikul tanggungjawab sendirian tetapi juga terpaksa melayan kata-kata kurang manis yang dilemparkan orang kepadanya. Kisah penceraiannya dengan Muhammad Riza Baharuddin dibuang jauh-jauh. Apa yang ada di benak fikirannya adalah bagaimana ingin meneruskan kelangsungan hidupnya. Kini, pada usia 29 tahun, Izreen yang mempunyai seorang anak yang baru berusia setahun tiga bulan, Muhammad Adrian Umar, hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya. . Sukar mahupun tidak itu telah tertulis dalam diari hidupnya, namun kecekalan serta ketabahannya dalam menempuh masalah ini perlu dijadikan contoh kepada golongan wanita yang mempunyai nasib yang sama. “Orang sekeliling melihat saya seperti wanita kuat dan tabah. Ketika kontroversi rumah tangga saya hangat diperkatakan, saya masih bekerja seperti biasa. “Saya ambil serius soal kerjaya kerana saya bekerja bukan untuk populariti, sebaliknya kelangsungan hidup saya dan anak sebab itu saya harus kelihatan kuat. Sejujurnya, saya tidak sekuat disangka. Ada ketikanya saya juga menangis dengan apa yang berlaku. “Tanyalah mana-mana wanita, tidak ada seorang pun mahu diceraikan atau menyangka perkahwinan yang dibina akan berakhir dengan perpisahan," jelas anak jati Kedah ini. tenang DALAM DUKA Walaupun hidup kembali berseorangan namun jelas Izreen, dia cukup tenang dengan keadaannya ketika ini. “Semuanya makin baik dan apa yang paling penting saya tidak serabut lagi. Walaupun hidup tanpa suami di sisi ketika ini tapi saya rasa cukup tenang dan tiada tekanan “Apa yang ada dalam fikiran saya ketika ini adalah bekerja dengan lebih kuat demi membesarkan anak tunggal saya. “Alhamdulillah rezeki saya juga nampaknya semakin bertambah, saya juga semakin dikenali jika mahu dibandingkan ketika awal-awal kemunculan saya. Saya harap rezeki ini berterusan selagi saya mampu memberikan yang terbaik kepada peminat," jelasnya. Selepas bercerai, isu nafkah anak tunggalnya, masih lagi menjadi kes perbicaraan di mahkamah dan sebagai ibu dia masih lagi menunggu keputusan tuntutan tersebut. Jelas Izreen semua ini dilakukan untuk masa depan anak itu dan mengharapkan kes ini cepat diselesaikan. “Kami juga takkan berebut soal menjaga anak. Riza boleh ambil Umar bila-bila masa beliau mahu memandangkan kami bekerja dalam bidang yang sama. “Jadi memang kerja tidak mengikut waktu. Cuma, hak jagaan anak adalah milik saya," katanya. Izreen mengaku lega kerana semua kemelut dapat diselesaikan dengan baik. Demi anak, Izreen dan bekas suami juga sepakat untuk terus berkawan. “Apa yang saya minta sekarang tolong hentikan cerita bukan-bukan yang mengaitkan diri saya mahupun Riza dengan perkara tidak benar. “Ada yang mengaitkan saya dengan pelakon lelaki lain, yang dikatakan antara punca kami berpisah. Tidak kurang juga yang mengatakan Riza ada perempuan lain. “Berilah ruang kepada kami untuk meneruskan hidup dan membesarkan anak dengan cara berasingan. Dengan apa yang terjadi, saya juga enggan memikirkan soal pengganti," katanya. Nafi bercinta BERKALI-kali dia menafikan yang pelakon Amar Baharin bukanlah orang ketiga di dalam kes penceraiannya. Semakin menafikan semakin ramai yang percaya kepada tomahan yang kurang enak itu. Kemesraan pasangan ini dikatakan bukan sahaja mesra dalam penggambaran drama tersebut malahan dikatakan turut mesra di luar set penggambaran. Sehingga kini ramai juga yang beranggapan bahawa pasangan ini sememangnya sedang hangat bercinta, namun bagi Izreen perkara sebenar mengenai hubungannya bersama Amar hanya teman biasa. “Sebenarnya kami berdua masih berkawan dan tidak pernah bercinta seperti apa yang dikatakan kebelakangan ini. Saya dengan Amar sudah berkawan ketika saya sebelum kahwin lagi. “Tidak timbul isu yang mengatakan saya dengan Amar baru sahaja kenal dan semakin rapat ketika digabungkan dalam drama itu. Saya sendiri juga berasa kesian kepada Amar yang terpaksa terkena tempias ini. “uncanya mungkin kerana peminat terlalu taksub dengan gandingan kami berdua. Kemesraan kami hanya di set penggambaran sahaja di luar kami masih lagi berkawan seperti biasa," jelasnya. Dalam pada itu, Izreen turut memuji sikap Amar yang sedikit matang dan sering memberi sokongan terhadap dirinya ketika melalui detik sukar dalam kehidupannya. “Saya akui Amar sering memberi sokongan kepada saya ketika saya sedang menghadapi masalah. Dia juga sering memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya. “Sokongan dan dorongan itu adalah sekadar kawan dan tidak lebih daripada itu. Saya harap jangan ada lagi gosip-gosip yang melanda kami berdua. “Bagi saya jodoh pertemuan sememangnya telah ditetapkan oleh Allah. Sekiranya sudah tertulis jodoh saya ditetapkan untuk Amar maka saya akan terimanya, itu sahaja," jelas Izreen. Tambahnya lagi, buat masa ini dia tidak pernah terfikir untuk kembali berumah tangga dalam masa terdekat ini. Jelas Izreen, biarlah masa yang menentukan segalanya. Pelbagaikan watak Jika sebelum ini, Izreen sering kali tampil dengan watak jahat, ketika ini nampaknya Izreen sudah berjaya membawa pelbagai watak. Lihat sahaja terhadap mutu lakonannya menerusi Kerana Terpaksa Aku Relakan, watak heroin yang dibawanya cukup berkesan sehingga peminat menaruh harapan agar drama tersebut diterbitkan untuk kali kedua. Jelas Izreen, itu semua adalah berkat kesabaran serta usahanya selama ini dalam membuktikan bakat yang sedia ada dalam dirinya. “Watak jahat memang cukup sinonim dengan saya sebelum ini. Watak jahat ini sememangnya satu watak yang sangat mencabar. “Namun kita sebagai pelakon memang mendambakan watak-watak yang berbeza. Kadang-kadang kita juga mahu lihat bagaimana penerimaan peminat terhadap lakonan kita dengan membawa watak yang berbeza. “Saya harap saya akan mampu untuk membawa pelbagai watak selepas ini. Saya ingin membalas kepercayaan peminat yang tidak putus-putus menyokong saya walaupun saya pernah melalui detik sukar kebelakangan ini, tanpa peminat saya juga tidak sekuat ini," ujar Izreen. Terbaru, Izreen akan tampil menerusi telefilem Kerana Terpaksa Aku Relakan bersama pelakon yang sama, Amar Bahrin pada Hari Raya Aidiladha nanti. Dia juga akan menjayakan drama 26 episod berjudul, Pergilah Air Mata untuk tayangan RTM, Oktober nanti.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140921/hi_01/Tabah-hidup-sendirian#ixzz3E0scfQvT
© Utusan Melayu (M) Bhd
|