STATUS TERKINI PELAN CATUAN BEKALAN AIR PERINGKAT PERTAMA DAN KETIGA DI NEGERI SELANGOR, KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA β CATUAN DITERUSKAN SEHINGGA 30 APRIL 2014
Kuala Lumpur β Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan status terkini pelaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang pada mulanya dijadualkan berakhir pada hari ini, 31 Mac 2014 tetapi kini telah lanjutkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sehingga 30 April 2014.
Seperti sedia maklum, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dilaksanakan ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi berikutan kandungan ammonia yang tinggi di dalam Sungai Langat. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pihak SYABAS dimaklumkan oleh syarikat operator kedua-dua loji rawatan air tersebut iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd bahawa LRA Bukit Tampoi telah dapat beroperasi semula pada jam 10.00 pagi, 30 Mac 2014 manakala LRA Cheras Batu 11 telah beroperasi semula pada jam 12.00 tengahari hari yang sama berikutan paras kandungan ammonia di dalam Sungai Langat telah berkurangan ke tahap yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Walau bagaimanapun, operasi kedua-dua loji rawatan air tersebut masih di bawah pemantauan rapi syarikat operator loji disebabkan paras ammonia masih belum dapat dipastikan akan tetap pada tahap yang rendah kerana keadaan yang sama telah dialami sebelum ini. Pada masa ini, loji-loji rawatan air tersebut terus beroperasi mengikut keadaan kualiti sumber air mentah dari Sungai Langat dan bekalan air terawat yang dikeluarkan telah disalurkan ke kawasan-kawasan yang sepatutnya dicatu di wilayah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. Walaubagaimanapun ini merupakan langkah sementara sahaja bagi membantu pengguna terlibat dan pengoperasian kedua-dua loji rawatan tersebut tertakluk kepada paras ammonia pada hari-hari yang akan datang. Sementara itu, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga yang melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Klang/Shah Alam diteruskan disebabkan pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 JLH dan sebanyak 30 JLH dari Empangan Klang Gates masing-masing masih diaktifkan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd di atas arahan Kerajaaan Negeri Selangor. Pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah ini menyebabkan kekurangan bekalan air terawat dari LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Sungai Rasa, LRA Rantau Panjang, LRA Bukit Nenas dan LRA Wangsa. Pada masa yang sama juga, adalah dimaklumkan bahawa pihak SPAN telah meluluskan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ke Empat yang akan berkuatkuasa pada 4 April 2014 dan dilaksanakan serentak dengan Pelan Catuan Bekalan Air peringkat Pertama dan Ketiga. Perincian pelaksanaan pelan catuan Peringkat Ke Empat seperti kawasan terlibat dan jadual pelaksanaan akan diumumkan oleh pihak SPAN pada 1 April 2014. Sementara itu, Pelan Catuan Bekalan Air peringkat Pertama dan Ketiga akan kekal dilaksanakan di kawasan yang terlibat berdasarkan jadual catauan seperti di dalam notis yang dikeluarkan oleh pihak SPAN/SYABAS sebelum ini. Oleh yang demikian, sebelum menjelang 4 April 2014, jadual catuan bagi Pelan Catuan Peringkat Pertama dan Ketiga untuk tempoh di antara 1 April hingga 3 April 2014 adalah seperti berikut:
Bil | Tarikh | Peringkat Pertama (Wilayah Hulu Langat) | Peringkat Pertama (Wilayah Kuala Langat & Sepang) | Peringkat Ketiga | Zon 1 | Zon 2 | Zon 1 | Zon 2 | Zon 1 | Zon 2 | 1 | 1/4/2014 | Tiada air | Ada air | Ada Air | Tiada Air | Tiada air | Ada air | 2 | 2/4/2014 | Ada air | Tiada air | Tiada air | Ada air | Tiada air | Ada air | 3 | 3/4/2014 | Ada air | Tiada air | Tiada air | Ada air | Ada air | Tiada air |
Berikutan perlaksanaan pelan catuan bekalan air yang masih diteruskan ini, para pengguna juga ditegaskan agar tidak membazir semasa menggunakan air dan tidak menggunakan air untuk tujuan kurang pentingseperti mencuci kenderaan, mencuci premis kediaman, mencuci longkang, mengisi kolam renang, menyiram pokok bunga dan menyiram bumbung premis kediaman/perniagaan semata-mata untuk menyejukkan keadaan. Sehubungan itu, para pengguna juga diminta untuk berkerjasama dan mengambil tindakan serius terhadap tindakan berjimat cermat ini serta juga saling ingat memperingatkan di antara satu sama lain terhadap saranan ini.
Justeru, SYABAS memohon kerjasama para pengguna untuk terus bersabar sepanjang tempoh catuan ini terutamanya para pengguna di sesetengah kawasan catuan yang lewat menerima bekalan air melewati jam 4:00 petang seperti dijadualkan khususnya disebabkan kawasan kediaman berada pada kedudukan tinggi, penghujung sistem bekalan air atau bekalan air yang melibatkan sistem pengepaman dalaman atau pengepaman berperingkat. Pihak SYABAS akan terus memantau kawasan-kawasan catuan mengikut zon yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan penambahbaikan khususnya dari segi tempoh pemulihan bekalan air di semua kawasan terlibat seperti yang telah dijadualkan.
Pada masa yang sama, para pengguna digalakkan untuk melayarai laman web SYABAS (www.syabas.com.my) untuk mendapatkan perkembangan terkini dan informasi berkaitan berhubung pelan catuan bekalan air yang dilaksanakan ini.
- tamat -
PRISCILLA ALFRED Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam |