Marsha, Shaiful Nizam sah sebagai suami isteri PULAU PINANG – Penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh, 30, selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, 29, dengan sekali lafaz di sebuah kediaman peribadi di sini malam tadi. Marsha yang berwalikan wali hakim dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Timur Laut, Fauzi Ibrahim pada pukul 8.55 malam. Shaiful Nizam menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,001 kepada Marsha manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan. Majlis pernikahan itu diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat pasangan tersebut. Marsha dan Shaiful Nizam mula berkenalan sejak 10 tahun lalu namun menyulam cinta pada tahun 2013. “Alhamdullilah, syukur kepada Allah kerana semuanya sudah selamat. Saya berharap semua peminat mendoakan kesejahteraan saya dan perkahwinan ini,” ujar Marsha. Majlis resepsi pasangan ini bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Januari ini di Hotel Majestic, Kuala Lumpur secara tertutup. Marsha yang berketurunan Kadazan-Dusun adalah bekas Akademi Fantasia musim ketiga dan pernah membintangi beberapa filem termasuk Laga dan Jwanita.
|