Banjir Johor: Batu Pahat daerah baharu terjejas
Banjir di Taman Suria, Taman Rekamas dan Kampung Seri Tengah, Renggam, di Kluang Johor. - Foto APM Kluang
JOHOR BAHRU: Batu Pahat menjadi daerah baharu terjejas banjir dengan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu, pagi tadi. Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata seramai 808 mangsa daripada 240 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kluang, Pontian dan Batu Pahat. Kluang mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 674 daripada 199 keluarga yang ditempatkan di enam PPS sejak semalam.
"Semua mangsa banjir di Kluang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Onn Jaafar (193 mangsa, 57 keluarga), SK Seri Kampung Renggam (40 mangsa, 16 keluarga), Dewan Kampung Kolam Air (58 mangsa, 13 keluarga), SK Simpang Renggam (37 mangsa , 15 keluarga), SK Seri Kencana (139 mangsa, 38 keluarga), SK Sungai Linau (113 mangsa, 32 keluarga), Dewan Terbuka Kampung Paya Palembang (62 mangsa, 17 keluarga) dan Balairaya Parit Haji Hashim (32 mangsa, 11 keluarga). "Pontian mencatatkan seramai 120 mangsa daripada 39 keluarga yang ditempatkan di SK Seri Anom yang dibuka pada jam 8.30 malam tadi. "Seramai 14 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di sebuah PPS di SK Seri Bunut, Batu Pahat yang dibuka jam 8 pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini. Menurut laporan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), paras air sungai di Sungai Benut di Simpang Renggam berada pada paras waspada iaitu 6.18 meter. Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan hujan lebat dan ribut petir di daerah Batu Pahat, Tangkak dan Muar.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1307627/banjir-johor-batu-pahat-daerah-baharu-terjejas-banjir
|