'Tiada gencatan senjata, harapan Gaza untuk bebas hanya tinggal khayalan'
Doktrin ketenteraan Zionis tidak menampakkan wujudnya sebarang harapan untuk melaksanakan gencatan senjata, penyelesaian dua negara atau pembangunan semula Gaza. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Genap setahun tindakan genosid Israel terhadap Palestin, penganalisis politik antarabangsa melihat harapan rakyat di Gaza untuk mencapai kebebasan hanyalah tinggal khayalan semata-mata walaupun diakui semangat perjuangan mereka amat tinggi. Penganalisis hubungan antarabangsa, keselamatan dan undang-undang dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, berkata ini kerana sama ada pentadbiran sayap kanan di bawah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atau berlakunya pertukaran kerajaan, doktrin ketenteraan Zionis tidak menampakkan wujudnya sebarang harapan untuk melaksanakan gencatan senjata, penyelesaian dua negara atau pembangunan semula Gaza. Beliau berkata, dengan sokongan negara kuasa besar khususnya Amerika Syarikat (AS), pihaknya melihat peperangan itu bukan saja tiada tanda untuk berakhir, sebaliknya berisiko menjadi semakin dahsyat hingga mengheret negara Islam lain.
"Saya melihat landskap politik Israel sama ada sayap kanan atau tidak, masih berasaskan Zionis yang tidak akan mengubah apa-apa jika berlaku sebarang pertukaran pentadbiran di Israel. "Sebaliknya dengan misi 'The Greater Israel', rejim itu berhasrat mengambil alih Gaza sepenuhnya dan tidak akan menghentikan serangan, sebaliknya kita boleh menjangka situasi semakin buruk. "Selepas setahun berlalu, sebenarnya kita tidak boleh katakan apa yang terjadi adalah peperangan, sebaliknya ia adalah genosid kerana Israel mempunyai kelengkapan senjata jauh lebih canggih berbanding Hamas," katanya. Pada masa sama, Mohd Mizan berkata, jelas dilihat tiada usaha sama sekali dari Israel untuk menamatkan peperangan apabila bertindak membunuh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang sedang dalam proses ke arah perjanjian damai. Beliau berkata, walaupun dilihat sebelum ini sesebuah kerajaan berupaya dijatuhkan melalui gerakan rakyat secara besar-besaran, namun situasi itu berbeza di Israel kerana pemimpin parti Likud berkuasa sepenuhnya, khususnya melalui pembentukan Kabinet Perang. "Jika kita mengharapkan adanya perubahan dari dalaman terhadap pemerintahan Netanyahu, ia umpama suatu cita-cita yang sukar dicapai kerana walaupun ada penolakan rakyat sekalipun, namun pemimpin mereka berkusda menentukan segalanya. "Suara komuniti antarabangsa tidak mampu mengubah keputusan politik atau menumbangkan parti Likud," katanya.
Beliau berkata, realiti yang ditakuti adalah perkembangan yang berlaku sekarang berisiko mengheret negara Islam lain seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi selain Lubnan, Iran dan Yaman kini, sehingga boleh tercetusnya Perang Dunia ketiga. "Perang Dunia pertama atau kedua sebelum ini tidak berlaku dalam tempoh dekat, namun ia berterusan sehingga mengheret konflik berpanjangan dan mewujudkan perpecahan sehingga menyebabkan dunia terbahagi kepada dua blok besar yang membawa kepada kehancuran," katanya. Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan, berkata tanpa bantuan AS, Britain dan negara G7 lain kepada Palestin, selagi itulah wilayah itu akan terus berdepan dengan peperangan.
Beliau berkata, perlu ada usaha bagi mewujudkan satu keadaan yang mana Israel memahami tindakan menyerang Hamas dan Hizbullah tidak akan menyelesaikan masalah. Katanya, sehingga kini walaupun serangan selama setahun ini tidak berjaya menghapuskan Hamas, namun ia juga tidak memberi peluang kepada Palestin mencapai kebebasan. "Dalam keadaan sekarang, kelebihan adalah kepada Israel untuk menidakkan kewujudan negara Palestin yang merdeka. "Hakikatnya walaupun adanya tekanan kepada Israel dan Kabinet Netanyahu supaya mengiktiraf Palestin untuk merdeka, namun ia sukar dilaksanakan kerana Zionis menerima sokongan AS. "Hamas memang tidak dapat dihapuskan lagi, namun sudah wujudnya persepsi yang ditanam bahawa sekarang adalah masa terbaik bagi berbuat demikian, sekali gus menunjukkan tiada sinar untuk peperangan dihentikan," katanya. Penganalisis Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, pula berkata, pihaknya menggariskan enam aspek yang menyebabkan situasi malang di Palestin dilihat masih berterusan.
Beliau berkata, ia adalah kerana kegagalan sistem dan institusi keselamatan antarabangsa bagi gencatan senjata serta dalam aspek kemanusiaan di sana. "Ia juga disumbangkan oleh kegagalan pelaksanaan undang-undang antarabangsa ke atas tindakan genosid dan jenayah perang Israel, hipokrasi Barat dan kelemahan institusi negara Islam serta negara Arab. "Ia juga didorong oleh kejahatan dan kesombongan Israel melampaui sempadan undang-udang dan kemanusiaan selain majoriti negara di dunia ini memihak kepada Palestin dan meminggirkan Israel sebagai negara pariah," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1307580/tiada-gencatan-senjata-harapan-gaza-untuk-bebas-hanya-tinggal
|