Post Last Edit by aFViRGo at 14-9-2010 17:01
Taken from Utusan Malaysia Online
Kerja keras untuk keluarga
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
[email protected]
Gambar Jeffri A. Rahman

SEDAR atau tidak, sudah empat tahun gadis genit ini ditabalkan sebagai ratu sulung program realiti Akademi Fantasia musim kelima.
Disebabkan itu, Mila atau nama sebenarnya, Nur Syarmila Jirin, 22, berasakan dia masih lagi mempunyai sumber kewangan yang stabil bagi menyara perbelanjaan keluarganya.
Apatah lagi tanggungjawab sebagai anak sulung membuatkan Mila tiada pilihan lain selain bekerja keras memastikan semuanya berjalan lancar.
Ketika gadis kecil molek itu bertandang ke pejabat Utusan Malaysia untuk menjayakan sesi fotografi, sikap ramahnya jelas kelihatan.
Jika dilihat kelibat wartawan hiburan lain yang dikenalinya, tanpa berlengah, terus sahaja disapa.
Mungkin itulah yang membuatkan ramai rakan wartawan cukup menyenangi anak kelahiran Pulau Pinang ini.
Sempena Syawal kali ini, Mila memberitahu, dia tidak banyak berbelanja untuk dirinya.
"Paling utama, saya akan pastikan keperluan keluarga mencukupi.
"Cukuplah dua pasang baju kurung untuk saya menyambut Syawal kali ini.
"Lagi pun tahun ini saya banyak peruntukkan persediaan membeli kelengkapan rumah baru saya," katanya yang baru membeli sebuah rumah di Puchong.
Kata Mila, rumah teres dua tingkat itu adalah hasil keringatnya sepanjang bergelar anak seni.
Sempena sambutan Aidilfitri kali ini, Mila menambah, dia memperuntukkan RM1,000 sebagai duit raya untuk diagihkan kepada kanak-kanak yang datang beraya ke rumahnya yang terletak di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Album baru awal November
Selepas muncul dengan album pertama, Persis Mutiara dua tahun lalu, Mila akan memeriahkan lagi industri seni tempatan apabila album keduanya bakal menjengah pasaran selewat-lewatnya November nanti.
Kualiti yang tinggi terhadap setiap lagu yang dimuatkan, ia merupakan faktor mengapa Mila mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkannya.
"Semestinya saya memastikan pemilihan lagu yang terbaik untuk dimuatkan dalam album kedua ini"
"Lapan buah lagu berentak pop akan dimuatkan dalam album ini."
"Semangat saya untuk menyiapkan album ini lebih tinggi memandangkan ia adalah album terbitan syarikat saya sendiri," jelas Mila.
Selain memuatkan lagu Kata Hati, sebuah lagi lagu yang sudah siap dirakam ialah lagu Malu Malu ciptaan Aidit Alfian manakala Ad Samad selaku penulis lirik.
Tambah Mila, syarikat eRama Sdn. Bhd., pula akan melakukan kerja-kerja pengedaran selain menguruskan hal berkenaan muat turun digital. |