PEREBUTAN CINTA ADIK BERADIK.. ni paper semalam.. sesi ulang siar utk siapa2 yg terlepas pandang.. almaklum banglo cam roket lajunya
Dia boleh dikatakan antara pengarah baru berkaliber dalam setiap drama arahannya. Tidak keterlaluan dikatakan Azma Aizal Yusoof antara pengarah yang sering berfikir di luar kotak kerana apa yang digambarkannya kadang kala tidak terfikir oleh orang lain. [size=0.9em]Ditemui pada sesi penggambaran drama terbaru arahannya berjudul Kerana Terpaksa Aku Relakan yang sudah pun mengisi slot Akasia TV3 sejak 21 Mei lalu, Azma akui ini kali pertama dia diberi tanggungjawab menghasilkan drama yang diadaptasikan daripada novel.
“Kalau diikutkan, pengarah asal drama ini bukanlah saya. Sepatutnya penggambaran sudah bermula sejak tahun lalu namun atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, saya akhirnya diberi tanggungjawab menggalas tugas mengarahkan drama 28 episod ini.
“Kalau diikutkan saya bukanlah seorang penggemar novel seperti kisah ini. Jiwa saya lebih ke arah novel psikologi. Bagaimanapun, saya tetap memahami jalan cerita novel karya Umie Nadzimah ini untuk memikul tugas ini.
“Apa yang saya tahu, novel ini antara novel yang menjadi kegemaran dan laris. Selepas memahami karakter dalam novel ini, saya merombak sedikit sesuai dengan cita rasa penonton zaman ini. [size=0.9em]
“Tidak dapat dinafikan penulis novel lebih kenal dan tahu karakter setiap watak yang mereka hasilkan. Walaupun tidak berpeluang duduk semeja dengan Umie, saya masih dapat berhubung dengannya melalui laman sosial disebabkan Umie sudah menetap di Taipei, Taiwan,” katanya.
Azma sedar, setiap pembaca novel mengharapkan sesuatu yang hebat apabila kisah novel kegemaran mereka diangkat ke drama TV atau filem. Namun sebagai pengarah, dia perlu bijak mencantikkan semua karakter agar kesannya memikat.
“Melalui drama ini, saya menunjukkan watak utamanya iaitu Indah Halina yang dilakonkan Izreen Azminda. Dia ditindas dan berusaha membetulkan keadaan selain tidak rela dirinya terus-terusan dipijak.
“Kalau dihayati drama ini, ia sebuah kisah yang sering berlaku dalam kehidupan sehari-hari. Subjeknya mudah dan senang, justeru untuk tidak membuatkan penonton bosan, saya terpaksa merombak garapannya supaya lebih menarik lagi,” jelasnya.
Pun begitu Azma berkata, boleh dikatakan hampir 90 peratus lokasi digunakan tempat yang sama seperti mana dalam novel.
“Disebabkan novel ini ada ramai pengikutnya, saya harus jujur dengan kekal menggunakan lokasi yang sama seperti di dalam novel. Antara lokasi yang dikekalkan seperti Taiping dan Tapah di Perak, Pulau Pinang, Kuala Selangor serta Ijok. Namun untuk lokasi di Bangkok, Thailand saya terpaksa menukarnya ke Bandung disebabkan masalah politik yang sedang berlaku di negara itu.
“Saya juga bersyukur kerana diberikan pelakon yang bagus dan sentiasa mahu belajar memperbaiki lakonan mereka. Tiada masalah bekerja dengan Izreen dan Amar. Masing-masing profesional.
“Amar masih baru dalam bidang lakonan namun dia mempunyai semangat untuk belajar dan sentiasa bertanya serta memberi idea kepada saya untuk menghidupkan lagi wataknya, begitu juga dengan Izreen.
“Apa yang boleh saya katakan di sini, saya berpuas hati kerana hasil kerjasama pelakon dan lokasi yang kekal dipilih saya berjaya mendapatkan visual yang cantik untuk setiap babak di dalam drama ini.
“Selepas lima episod ditayangkan di TV3, penonton sudah mula menerima karakter setiap pelakon dan banyak maklum balas positif yang saya terima daripada mereka,” ujarnya.
Sinopsis
Mengisahkan Indah Halina yang dianiayai ibu tiri dan kakak tirinya, Mak Mariah dan Zawati sehingga disisihkan ayah kandungnya, Pak Halim. Indah yang pulang ke kampung bersama-sama Zawati dan Yazid untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Saiful (pilihan Pak Halim), ditinggalkan Yazid secara sengaja di kawasan rehat.
Tanpa wang satu sen dan telefon bimbit di tangannya, Indah buntu dan mujur dia dibantu Datuk Safiyah. Namun Tajul Razin yang menemani Datuk Safiyah ketika itu berasa was-was dan menganggap Indah mahu mengambil kesempatan terhadap ibunya.
Tibanya di kampung, majlis perkahwinan selamat berlangsung apabila Zawati mengambil alih tempat Indah sebagai pengantin. Indah dianggap sebagai anak derhaka dan memalukan keluarganya. Pak Halim langsung tidak mahu mendengar penjelasan Indah malah menghalaunya keluar dari rumah. Saiful turut tawar hati dengan Indah selepas dihasut oleh Zawati.
Indah kemudian terkejut mendengar kisah daripada Yazid bahawa Mak Mariah dan Zawati memang sudah membuat rancangan awal untuk merosakkan perkahwinannya dengan Saiful.
Akhirnya, Indah terpaksa mencari rezeki di Kuala Lumpur. Takdir menemukan Indah semula dengan Datuk Safiyah. Oleh kerana kagum dengan perwatakan Indah yang lemah lembut, pandai mengambil hati dan juga seorang yang cekap dalam melakukan tugasan, Datuk Safiyah mengambil Indah sebagai pembantu peribadi. Indah juga dipelawa untuk tinggal bersama keluarga Datuk Safiyah.
Namun, Tajul Razin masih berprasangka buruk terhadap Indah. Lama-kelamaan, Tajul Razin mula terpikat dengan kebaikan Indah. Dia juga tidak bertepuk sebelah tangan kerana Indah juga menyimpan perasaan terhadapnya.
Tambahan pula, kepulangan Tajul Fahin, anak kedua Datuk Safiyah seorang kaki perempuan, kemudian menaruh hati terhadap Indah. Tajul Fahin sanggup bersaing dengan Tajul Razin untuk memikat hati Indah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19
|