KUALA LUMPUR: Kedengaran 'cool' suara Zul Ariffin di hujung talian ketika ditanya mengenai status terkininya dengan cinta hati, Gayathri Sulin Pillai.
Ini kerana ada cakap-cakap bahawa hubungan mereka kian goyah selepas Zul membintangi drama Rindu Awak 200% dengan Ayda Jebat di TV3.
Barangkali semua itu hanya spekulasi yang cuba meruntuhkan hubungan Zul dan Gayathri.
Gayathri sendiri menyangkal dakwaan hubungannya dengan Zul sudah putus digembar-gemburkan sesetengah pihak.
BH Online menghubungi Zul dan ini penjelasannya.
"Saya tak kisah dengan persoalan atau pertanyaan mengenai kisah hubungan kami atau menjawab gosip berbangkit. Ini bayaran yang saya perlu hadapi bergelar anak seni. Saya tak pernah melatah dalam hal ini.
"Cuma yang saya jadi naik rasa semak apabila orang kutuk dia (Gayathri). Saya tahu dia faham dengan permainan atau lumrah sebegini. Tapi untuk orang yang bukan bergelar anak seni mampukah dia menerima semua ini dengan hati terbuka.
"Macam saya... sudah lali dengan semua ini. Bukan senang untuk dia menerima semua ini. Saya tahu dan sedar itu.
"Cuba letak orang yang selalu kutuk ini di tempat dia. Cakap memang senang, tapi yang merasainya bagaimana pula. Dalam hal ini, dia jadi mangsa keadaan apabila ada orang ceroboh laman sosial miliknya untuk mencaci dan menghentam," kata Zul yang tidak melihat tindakan manusia menceroboh laman sosial milik kekasih hatinya sebagai sesuatu yang patut.
Ditanya tindakan seterusnya untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada kekasih hatinya itu, Zul hanya mengharapkan pengertian dan pemahaman yang terbesar dari kekasihnya itu.
"Saya hanya berharap dia akan terus bersabar dengan dugaan sebegini dan cuba melakukan perkara lain, sekali gus untuk mengalih perhatian terhadap kisah sebegini.
"Saya yakin gosip atau apa yang dilalui ini akan berpanjangan. Tak lama lagi redalah," katanya.
Pelakon, Zul Ariffin (kiri) dan Gayathri Sulin Pillai - Foto Aziah Azmee