|
'Waspada jangkitan COVID-19 ketika anjur kenduri pergi haji'
JOHOR BAHRU: Bakal jemaah haji dinasihatkan agar sentiasa menjaga dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk ketika mengadakan kenduri doa selamat, sebelum berlepas ke Tanah Suci, dalam usaha mengelakkan diri mereka dijangkiti virus COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad, berkata pematuhan SOP dapat mengelakkan jadual penerbangan yang telah diaturkan untuk mereka terjejas.
Katanya, beliau difahamkan ada bakal jemaah haji kumpulan pertama, positif COVID-19 sebelum berlepas pertama ke Makkah semalam, terkena jangkitan wabak itu daripada kenduri yang dianjurkan.
"Saya harap supaya bakal jemaah haji lebih berjaga-jaga sewaktu penganjuran kenduri sebelum bertolak ke Makkah. Saya dimaklumkan bakal jemaah haji yang positif COVID-19 semalam mendapat virus itu daripada kenduri.
"Hendak anjurkan kenduri tidak salah, tetapi kena berjaga-jaga, takut menjejaskan jadual penerbangan kita," katanya pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan kali ke 3 di Arena Emas, Taman Impian Emas, Skudai di sini, hari ini.
Idris berkata, urusan bagi bakal jemaah haji yang dijangkiti COVID-19 akan dikendalikan sepenuhnya oleh Tabung Haji (TH).
Katanya, jemaah haji yang positif COVID-19 juga masih berpeluang untuk mengerjakan haji musim ini berikutan penerbangan terakhir adalah pada Julai.
"Jika mereka positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) sama ada awal 2 atau 3 Julai nanti. Selepas mereka habis kuarantin, sekiranya mereka sihat insya-Allah boleh terbang (ikut kumpulan lain).
"Tidak akan ada (penerbangan tambahan) kecuali satu kapal terbang positif (COVID-19), boleh buat (penerbangan tambahan). Jika seorang atau dua itu mungkin tidak ada masalah, TH boleh uruskan,"katanya.
Semalam Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata tiga daripada 295 jemaah haji kumpulan pertama ke tanah suci musim ini disahkan positif COVID-19.
Katanya, individu disahkan positif itu sudah memaklumkan lebih awal keputusan ujian saringan RT-PCR COVID-19 mereka kepada TH.
Kerajaan Arab Saudi menetapkan jemaah yang mencatat keputusan ujian PCR negatif saja dibenar menunaikan fardu haji, begitu juga syarikat penerbangan.
Sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines akan membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, dengan penerbangan terakhir pada 3 Julai.
https://www.bharian.com.my/berit ... -kenduri-pergi-haji |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|