AKIM dan Stacy selepas melancarkan produk wangian mereka, Obsess pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR: Mengikut peredaran masa kini, pasangan selebriti, Akim dan Stacy hari ini melancarkan jenama wangian mereka sendiri.
Mengakui menggunakan kesempatan yang ada, Stacy atau nama penuhnya, Ummu Shaikhah Stacy Annam, 26, berkata koleksi yang dikeluarkan mereka mendapat sambutan hangat dan menepati cita rasa penggemar pewangi tempatan.
"Benar, koleksi pewangi ini dikeluarkan sementara kami masih diterima baik. Begitupun, kualiti pengeluarannya sesekali tidak dipandang remeh.
"Sebagai selebriti, kami memerlukan pelaburan untuk masa hadapan dan ia adalah faktor utama yang mendorong kami menceburi bidang bisnes.
"Biarpun gabungan kami berdua mendapat sambutan positif, ia tidak bermakna kami harus memandang remeh sebarang produk dikeluarkan.
Sejujurnya kami perlu meneliti dari proses awal lagi bagi memastikan kualiti produk memuaskan hati," katanya kepada BH Online.
Akim atau Akim Ahmad, 25, yang turut ditemui pada majlis pelancaran jenama Obsess itu bersetuju dengan isterinya.
Begitupun menurut vokalis kumpulan The Majistret ini, beliau awalnya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menceburi bidang perniagaan.
"Jika diikutkan, saya tidak tahu hendak berniaga, namun pelbagai langkah perlu diambil untuk keluarga kecil kami.
Sebagai ketua keluarga, saya perlu merencana pelaburan masa depan demi mereka. "Bukan sekadar mengikut trend, kami turut berbincang dan mengkritik pilihan satu sama lain.
Komen membina yang diberikan sesama kami dijadikan sebagai langkah untuk menghasilkan produk terbaik," kata Akim.
Pewangi keluaran pasangan kelahiran Akademi Fantasia ini dihasilkan mengikut kesesuaian wangian untuk wanita dan lelaki.
Akim dan Stacy turut membuka peluang perniagaan kepada pihak yang berminat untuk menjadi stokis produk keluaran mereka.
|