Kebelakangan ini, kes buli dikalangan pelajar sering dilaporkan di media massa dan media sosial. Masalah ini bukanlah gejala baru di negara kita kerana kes buli menunjukkan kadar peningkatan dari semasa ke semasa.
Buli yang melibatkan pelajar sekolah adalah isu serius dan tidak harus dipandang ringan kerana kes ini sudah mendapat perhatian seluruh masyarakat negara kita.
Beberapa hari lepas, tersebar satu video baru yang memaparkan kes buli ke atas seorang pelajar dipercayai berlaku di sebuah sekolah yang terletak di Meru, Klang. Video berdurasi selama 12 saat itu di kongsikan oleh Ryyan Hidayat di laman Facebooknya.
Didalam video tersebut, seorang pelajar lelaki diangkat beramai-beramai dalam keadaan berbaring dan dihayun ke arah tiang elektrik dalam keadaan terkangkang selama beberapa kali.
Jelas terdengar suara mangsa buli tersebut menjerit kesakitan. Netizen yang melihat video tersebut sangat marah dan mengesyorkan supaya laporan polis dibuat dengan segera supaya pelaku-pelaku zalim didalam video itu ditangkap dan dihukum dengan setimpal.
Masih bersekolah sudah sekejam itu? Sebelum masalah ini menjadi lebih serius, langkah-langkah mengatasi perlu diambil dengan segera. Jika tiada usaha berkesan dalam membanteras gejala buli ini, mungkin kita akan berdepan dengan lahirnya ramai "generasi baru" yang penuh dengan masalah sosial. - CARI
Sumber video - Ryyan Hidayat |