|
Sebut sahaja Nasi Lemak Anak Dara, pasti ramai yang mengenali tuan empunya badan. Siti Hajar Ahmad, 24, mendapat perhatian umum bukan sahaja kerana nasi lemaknya yang sangat sedap dan dijual dengan harga berpatutan, dia juga memiliki rupa paras yang cantik. Itulah yang diperkatakan netizen yang mengenalinya.
Sumber foto: Malay Mail
Lumrah manusia di dunia, pasti ada yang memberi sokongan dan dorongan kepada insan berjaya. Namun pasti ada segelintir yang kurang menyenangi kejayaan dikecapi insan lain. Itulah namanya ujian Allah.
Semalam, Siti Hajar berkunjung ke Era untuk ditemuramah mengenai kisah nasi lemak anak daranya yang menjadi viral kebelakangan ini. Apa yang berlaku adalah terdapat seorang netizen yang tidak berpuas hati dengan pihak media yang terlalu propa untuk memberi publisiti kepada gadis ini.
Komen netizen, Hairul Hero, menjadi perhatian di media sosial sejak semalam apabila gambar Siti Hajar dipaparkan di Facebook Era.
"Bukan nak pertikai, tapi bosan dengan cerita tak berfaedah macam ni. Sebab dia cantik? Tak perlulah masuk berita berkali-kali," katanya.
Menurut Hairul, media tempatan terlalu memberi publisiti kepada Siti Hajar yang popular dengan viral nasi lemak anak daranya.
"Eh? Negara aku ni memang semua otak suka buang masa ke apa? Tak habis dengan akhbar, berita pun masuk termasuklah radio-radio sampah ini," tambahnya lagi.
Sumber foto: Era fm
Pandangan Hairul itu mendapat sokongan daripada ramai netizen, tidak kurang juga yang menyangkal dengan kata-kata positif.
"Sebab kau cantik je alasannya cerita kau viral sampai sekarang. Cuba kalau tak berapa nak cantik, memang tak akan diviralkan pun," kata netizen, Fazelee Hamid.
Netizen, Maizatul Fadzlin pula meletakkan kejayaan Siti Hajar sebagai rezeki dari tuhan. Manakala Mohd Bukhari Kasim memberi komen pedas kepada netizen yang iri hati.
"Ramai yang iri hati dalam ni tapi menafikan bila dikata dengki. Kalau tak dengki, tiadalah komen negatif di sini. Stop complaint, Stop gossip, Move forward," tegasnya.
Mungkin Hairul hanya cuba pertikaikan tindakan media tempatan yang dilihat terlalu memberi publisiti kepada gadis itu dan bukan mempertikai kejayaannya. Kita hanya manusia biasa, mempunyai perasaan. Jadi, renung-renungkanlah.
Dari perspektif pihak media sendiri, sudah pasti mereka sentiasa menyediakan paparan berita yang mendapat permintaan tinggi, selain memaparkan berita penting dan terkini. - CARI |
|