Sumber Foto: Harian Metro
Hospital Medan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di perkarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) telah pun memulakan operasinya secara rasmi mulai jam 8 pagi hari ini.
Proses pemasangan dan penyelenggaraan yang mengambil masa selama dua hari itu berjalan dengan lancar hasil kerjasama kedua belah pihak, ATM dan HSA.
Menurut kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk Dr Abdul Razak Md Yusoff kepada Harian Metro, seramai 20 hingga 30 pegawai dan anggota ATM ditempatkan di HSA bagi mengendalikan Hospital Medan.
Ia bagi membantu dari segi kemudahan, perpaipan, pembersihan, penyelenggaraan pendawaian, penyahkuman dan keperluan lain.
Lima buah kontena yang membentuk satu dewan bedah seluas 243.87 meter persegi itu menempatkan keperluan prapembedahan, ketika pembedahan, pascapembedahan, tempat simpanan peralatan serta bilik persalinan.
Penutupan keseluruhan Blok Barat HSA termasuk wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang terbakar 25 Oktober lepas telah menjejaskan perkhidmatan dewan bedah, unit tabung darah serta unit kecemasan dan trauma.
Situasi ini menyebabkan pesakit dan kakitangan bagi perkhidmatan rawatan di unit-unit berkenaan turut dipindahkan sementara. -CARI |