|
Kerap berkongsi kisah bahagia bersama keluarga di laman sosial, penyampai radio Era, Johan, bagaimanapun 'bengang' apabila maklumat peribadinya didedahkan pihak tidak bertanggungjawab.
Dari apa yang diperhatikan melalui luahan hati Johan di akaun Instagramnya, pihak tidak bertanggungjawab itu telah mendedahkan alamat rumahnya.
Malahan, ada juga individu yang tidak dikenali tiba-tiba 'bertandang' ke rumah Johan dengan tujuan memberikan hadiah.
Namun, yang menjadi isunya adalah keselamatan keluarga dan anak-anaknya.
"Kami ada anak kecil, dan kami tak tahu hati budi orang sama ada baik atau jahat. Tolong hormat privasi kami," luah Johan.
Melalui akaun Instagramnya itu, Johan yang kecewa dengan pihak yang tidak bertanggungjawab itu akan melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa.
Luahan hati Johan di media sosial itu mendapat perhatian netizen yang turut menyokong keputusan Johan ingin mengambil tindakan terhadap individu yang telah membocorkan maklumat peribadinya, sekali gus mengancam keselamatan keluarganya.
Dalam masa sama, seorang netizen melahirkan pendapat mengenai kemungkinan gambar yang dikongsi di laman sosial membolehkan alamat pengguna diketahui.
Sumber foto: IG Johan
Peminat pun, kalau nak bagi sangat hadiah tu sampai muncul depan rumah orang, maklumkanlah awal-awal. Sekurang-kurangnya, tak adalah pemilik rumah terkejut 'beruk' dibuatnya.
Sebagai peringatan, berhati-hatilah jika mahu berkongsi gambar anda di laman sosial. Tidak menjadi perkara asing lagi jika orang boleh cari maklumat peribadi anda dengan adanya teknologi serba maju zaman kini. - CARI |
|