Usia, rupa dan bentuk tubuh tidak menjamin seseorang peserta itu meraih gelaran ratu cantik.
Terdahulu dilaporkan wanita gempal dan berat mencecah 120 kilogram memenangi pertandingan ratu cantik dan dinobatkan sebagai ‘Ratu Vendimia'. Sebelum itu dilaporkan gadis berhijab yang berani menyertai pertandingan ratu cantik 'Miss Minnesota' di Amerika Syarikat.
Reuters, baru-baru ini pula melaporkan remaja berusia 19 tahun dari Puerto Rico, Stephanie Del Valle dinobatkan sebagai Ratu Cantik Dunia 2016!
Sumber foto: Twitter Miss World
Masih muda, tetapi gadis itu berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa dia layak digelar wanita tercantik di dunia dalam pertandingan ratu cantik dunia edisi ke-66 yang berlangsung di National Harbor, Washington, pada tahun ini.
Sebelum itu, Stephanie dinobatkan sebagai 'Miss Mundo de Puerto Rico' ketika menyertai pertandingan ratu cantik di negaranya.
Tarikan pada dirinya yang melayakkan dia dinobatkan sebagai 'Miss World 2016' adalah kelebihannya berkomunikasi dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Perancis.
Mahkota ratu cantik diserahkan oleh Ratu Cantik Dunia 2015, Mireia Lalaguna dari Sepanyol.
Sumber foto: Reuters
Gadis bercita-cita menceburi industri hiburan itu merupakan rakyat kedua Puerto Rico melakar sejarah berkenaan selepas Wilnelia Merced memenangi gelaran sama pada 1975.
Tahniah diucapkan kepada Stephanie kerana berjaya membuktikan usia tidak menggariskan kematangan dan kecantikan seseorang wanita. - CARI