Ralit membelek resipi untuk dicuba, berkenan dengan satu resipi ni. Alamak! Ada bahan beralkohol pula. Kena cuba resipi lain la ya?
Jangan risau, dengan sedikit ubah suai dan menggantikan bahan beralkohol tersebut dengan bahan halal, anda masih boleh mencuba resipi baru itu! Walaupun rasanya mungkin lari sedikit, namun ia dijamin sedap!
Gunakan bahan-bahan ini bagi menggantikan wain merah dalam masakan:
1. Jus anggur, delima, atau kranberi
Jus ini kaya dengan perisa selain berasid yang menjadikan ia pengganti terbaik kepada wain merah. Anda juga boleh cuba campurkan satu sudu cuka bagi setiap cawan jus untuk menambah lagi kepekatan rasa.
2. Stok ayam, daging, atau sayur
Penggunaan stok ayam, daging, atau sayur adalah pengganti yang sangat sesuai untuk menambah rasa dalam masakan. Untuk lebih berperisa, campurkan satu sudu cuka bagi setiap cawan stok.
Gunakan bahan-bahan ini bagi menggantikan wain putih dalam masakan:
Sumber foto: http://www.limaywine.com
1. Jus lemon
Jus lemon memberi rasa masam dalam masakan sama seperti wain putih. Campurkan jus lemon dengan air secukupnya supaya rasanya tidak terlalu kuat.
2. Jus anggur putih
Gunakan jus anggur putih jika anda mahu menambah rasa manis pada masakan. Untuk rasa lebih kuat, tambahkan satu sudu cuka atau jus lemon bagi setiap cawan jus anggur.
3. Stok ayam atau sayur
Sama seperti bahan ganti bagi wain merah, anda boleh gunakan stok ayam atau sayur apabila anda mahu menambah rasa pada masakan. Untuk rasa lebih kuat, tambahkan satu sudu cuka atau jus lemon bagi setiap cawan stok.
Jika anda rajin melayari internet, anda akan menemui pelbagai cara dan bahan bagi menggantikan sesuatu bahan lain yang digunakan dalam masakan. Mudah saja, bukan? - CARI |