Yahoo Inc akan dikenali sebagai Altaba Inc dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marissa Mayer akan berundur daripada barisan ahli lembaga pengarah selepas memeterai perjanjian dengan Verizon Communications Inc.
Lima pengarah Yahoo lain juga akan meletak jawatan selepas perjanjian ditandatangani.
Foto: www.dailymail.co.uk
Yahoo mempunyai perjanjian untuk menjual perniagaan teras internetnya, yang merangkumi pengiklanan digital, e-mel dan aset media kepada Verizon dengan nilai AS$4.83 bilion (RM21.6 bilion).
Tahun lalu Yahoo mendedahkan dua kes pencerobohan data, salah satunya melibatkan 500 juta akaun pengguna, manakala satu lagi melibatkan lebih satu bilion akaun.
Memetik laporan Daily Mail, Eksekutif Verizon berkata meskipun mereka melihat penyesuaian yang kukuh dan strategik dengan Yahoo, mereka masih menjalankan siasatan tentang kes kebocoran data berkenaan.
Sementara itu, baki ahli lembaga pengarah lain akan ditugaskan untuk mentadbir Altaba, sebuah syarikat pegangan dengan aset utamanya sebanyak 15 peratus dalam syarikat dagangan China, Alibaba Group Holding Ltd, dan 35.5 peratus pegangan dalam Yahoo Japan. -CARI |