Foto: Travelsecrets.wordpress.com
Memang tidak dapat dinafikan sekarang ramai di kalangan kita akan berasa serabut hingga sakit kepala dibuatnya bila mahu menaiki kapal terbang.
Manakan tidak, dengan barisan keselamatan yang panjang, penerbangan tertangguh atau pelbagai perkara lain boleh menjadikan seseorang itu menjadi penat dan berasa marah.
Namun ia bukanlah alasan untuk bersikap kurang ajar terhadap pada krew kabin atau sesiapa sahaja di sekeliling. Berikut tips yang didedahkan oleh pramugari sendiri tentang bagaimana mahu mendapatkan pengalaman penerbangan yang terbaik.
Foto: traveller.com.au
1. Tolong bersopan-santun
Krew kabin biasanya akan memberikan servis yang terbaik untuk para penumpang namun kadang-kadang terdapat beberapa perkara yang di luar kawalan mereka. Contohnya, ada penumpang yang melenting sekiranya makanan yang diminta sudah kehabisan stok, atau internet di dalam pesawat tidak berfungsi dengan baik. Apa yang diperlukan untuk menghadapi situasi sebegini adalah kesopanan dari kedua-dua belah pihak untuk mewujudkan 'mood' yang baik.
2. Utamakan keselamatan
Sesetengah dari penumpang kapal terbang suka sangat mengambil beg atau barangan mereka yang diletakkan di atas rak di bahagian atas kepala semasa pesawat sedang bersedia untuk berlepas. Mereka juga tidak mengikat tali pinggang keselamatan dan berlegar-legar di bahagian dapur pesawat. Perbuatan ini boleh mengundang bahaya, misalnya kaki tertimpa barangan berat dan sebagainya, jadi sebaiknya elakkan.
Foto: www.travelandleisure.com
3. Bawa 'Amenity Kit'
Biasakan untuk membawa sendiri kotak barangan peribadi yang mengandungi pelbagai benda penting untuk diri anda. Contohnya bantal leher dan selimut untuk memastikan anda sentiasa selesa sepanjang perjalanan. Bawa juga losyen, pelembap bibir dan barang kecantikan yang lain untuk memelihara kulit dari menjadi kering.
4. Bawa makanan kegemaran sendiri
Kadang-kadang bila dalam penerbangan, kita akan berasa selalu lapar dan tidak puas dengan makanan yang disajikan. Puaskan nafsu makan anda dengan snek yang dibawa sendiri seperti buah-buahan, 'protein bar' dan sandwich.
Jadi bagi anda yang biasa mengembara atau baru pertama kali mahu menaiki pesawat, bolehlah praktikkan tips yang diberi ya? -CARI |