Ketika musim makanan Thai sedang hangat menghiasi ruang media sosial, ramai juga yang mula tercari-cari resipi kebanyakan makanan Thai yang tak dipertikaikan keenakannya.
Pulut Ayam Thai adalah antara makanan yang sering ditemukan ketika berkunjung ke Thailand. Nak 'bertandang' ke Thailand semata-mata untuk dapatkan pulut ayam itu, tak berbaloi rasanya.
Foto: http://ilhamdapur.blogspot.my
Jadi, apa kata kita buat sendiri Pulut Ayam Thai. Terangkat nikmatnya merasai air tangan sendiri. Puas rasanya!
Bawang Goreng:
6-7 ulas bawang merah
1-2 cubit garam
1/2 sudu kecil tepung jagung
Cara
1. Hiris nipis bawang, susun atas tisu dapur untuk diserap airnya supaya bawang cepat masak dan jadi rangup.
2. Panaskan minyak secukupnya (banyak tak apa, boleh guna untuk goreng ayam).
3. Gaul bawang dengan secubit garam dan tepung jagung, goreng sambil dikacau selalu hingga perang. Angkat dan toskan.
Bahan Ayam:
10 ketul kepak ayam saiz kecil (boleh guna bahagian lain tapi jangan potong besar-besar supaya cepat masak dan tidak hangus diluar)
4 ulas bawang putih *
2 ulas bawang merah *
3-4 tangkai akar pokok ketumbar *
1/4 sudu kecil lada hitam *
1/4 sudu kecil lada putih*
Nota: Tumbuk lumat bahan bertanda *
1/2 sudu besar gula pasir
nampla (sos ikan) secukup rasa
Sedikit kicap manis atau kicap pekat (nak bagi ayam berwarna gelap selepas goreng)
Tepung beras secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Cara Menyediakan Ayam:
1. Gaul kepak ayam dengan bahan tumbuk, gula, kicap manis dan nampla secukup rasa, kemudian masukkan ke dalam peti dan perap selama 3-4 jam atau semalaman.
2. Panaskan minyak dengan api sederhana.
3. Gaul sebati ayam tadi dengan tepung beras dan goreng sehingga masak. Angkat dan toskan.
Foto: http://fizalgk.blogspot.my
4. Hidang bersama pulut, air cili (lagi sedap dengan sos cili Thai) dan bawang goreng.
Bahan Pulut:
1 1/2 cawan beras pulut (rendam 1 jam)
1/2 sudu besar gula
1/4 cawan santan cair
sedikit garam
Cara
1. Kukus pulut sehingga masak (tapi masih keras) sambil dikacau atau kuap balik sekali sekala agar masak sekata.
2. Pindah pulut ke dalam bekas, kemudian gaul pulut dengan santan yang telah disatukan dengan gula dan garam sehingga sebati.
3. Masuk semula dalam pengukus dan kukus lagi dalam 5-7 minit sehingga pulut masak lembut.
Nota untuk air cili: Tambah sedikit air panas dengan sedikit gula ke dalam sos cili Thai supaya cair sedikit.
Tak sabar menunggu tibanya hujing minggu. Nak mencuba resepi dari Siam ini. Pasti seronok makan satu keluarga. - CARI
Kredit resipi: Mdm Wan Azuer/FB RESEPI MAMA RIA |