Pelakon dan pengacara, Raja Farah, akur dengan ketentuan Tuhan apabila dirinya mengalami keguguran hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut kedatangan 1 Syawal.
Memetik laporan BH online, kejadian berkenaan berlaku pada Isnin lalu selepas waktu berbuka, ketika dia sedang berniaga di sebuah karnival di Kuala Selangor. Ibu kepada seorang cahaya mata itu berdepan musibah berkenaan ketika kandungannya berusia dua bulan.
"Emosi saya memang tidak stabil ketika berdepan ujian berkenaan. Kini saya berusaha mendapatkan semula semangat yang hilang. Maklum saja, inilah pengalaman pertama saya berdepan kesedihan sedemikian.
"Jika diikutkan, sejak awal kehamilan lagi saya mengalami pendarahan tanpa henti. Doktor turut memaklumkan, saya mungkin berdepan keguguran menerusi kehamilan kedua ini.
"Boleh dikatakan, saya juga seperti sudah bersedia sebenarnya. Cuma, tidak sangka pula saya mengalaminya ketika kita semua hendak menyambut Hari Raya," katanya.
Sejurus mendapat tahu keguguran, dia segera menghubungi doktor dan kemudian pergi ke hospital di Petaling Jaya untuk mendapatkan rawatan.
Tahun ini Raja Farah akan beraya di kampung ibu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dia bagaimanapun tidak terlalu memikirkan soal sambutan Aidilfitri.
"Memang persiapan raya tidak dibuat dengan beriya-iya. Saya juga perlu berpantang," katanya.
Raja Farah dan Iskandar berkahwin pada 6 September 2015. Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki bernama Imran Iskandar. |