Kaum lelaki kalau sebut bab berpoligami, bukan main seronok lagi. Pendek kata ganjaran 'payung emas' yang dikatakan bakal diterima isteri di akhirat nanti sentiasa dijadikan modal supaya dibenarkan menambah 'cawangan baru'.
Selama ini para isteri mesti pernah terfikir dan terbayang-bayang bagaimana agaknya rupa payung emas itu kan?
Persoalan yang selama ini jawapannya masih samar-samar kini terang dengan penjelasan dari penceramah bebas Wan Dazrin Wan Din.
Menurutnya, tidak ada hadis sahih atau ayat al-Quran yang khusus tentang ganjaran isteri yang bersetuju untuk berpoligami.
Foto: Twitter
"Tak ada hadis, ayat al-Quran atau nas untuk isteri setuju poligami, lagi-lagi yang payung emas tu, tapi itulah yang tersebar dalam masyarakat kita. Ia (payung emas) hadis palsu, langsung tak benar, tak ada rujukan atau sumber dan tidak diketahui asal-usulnya," katanya kepada mStar Online.
"Isteri yang jaga aib suami, setuju dengan apa saja perbuatan suami yang sah dari sudut pandang syariat dan memperoleh reda suami disebutkan dalam al-Quran dapat memilih mana-mana pintu syurga yang mahu dimasukinya," tambahnya merujuk kepada hadis Ibn Hibban.
Foto: IG Ashraf Muslim
Mungkin ungkapan 'payung emas' yang digunakan selama ini hanya kiasan dari para ulama dahulu untuk mengimarahkan golongan isteri tentang ganjaran besar jika bersetuju untuk bermadu.
Jadi lepas ini kalau suami guna taktik 'payung emas' bolehlah semua isteri tunjukkan penjelasan ini okay? -CARI |