Edited by mbhcsf at 6-8-2017 08:10 AM
Oleh ABDUL KHALEED RAYYANI
“Dunia itu hijau dan manis.” (HR. Muslim no. 7124). Memang, dunia memang selalu menggoda. Dunia selalu kelihatan indah dan menyenangkan. Ia cukup mempesonakan dan memikat hati banyak manusia.
Benar, dunia memang penuh kesenangan dan kenikmatan. Namun, dunia juga merupakan gelanggang dugaan dan cubaan bagi manusia. Firman-Nya dari Surah al-Mulk ayat dua yang bermaksud: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
Allah menggambarkan kehidupan di dunia ini umpama air hujan yang menyuburkan tumbuhan sehinggalah sampai waktunya bertukar kekuningan dan akhirnya hancur (al-Hadid:20). Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini adalah suatu persinggahan. Semua yang hidup pasti akan menemui dan merasai sebuah kematian. Kita semua telah diajar tentang hakikat itu sedari kecil lagi. Malah, kita sedia maklum bahawa segala kesenangan di dunia ini adalah tidak kekal dan berpenghujung. Namun, malangnya kealpaan seolah menutup mata hati kita tentang segala yang telah dipelajari dan diketahui sedari kita kecil itu.
|