Edited by EJALTI at 9-11-2017 03:32 AM
“Saya Dukung Biawak, Bukan Suami Orang!”
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/11/09/gadis-dukung-biawak/
Diterbitkan: Khamis, 9 November 2017 10:30 AM
PETALING JAYA: Perumpamaan 'mendukung biawak hidup' jelas membawa maksud negatif, tetapi bagi gadis ini, tindakan meletakkan haiwan tersebut di bahunya bukan satu isu besar.
Hanya mahu dikenali sebagai Dewi, gadis dari Kuala Kangsar, Perak ini sedar dirinya teruk dikritik gara-gara gambarnya sedang mendukung seekor biawak tular di media sosial.
-foto Facebook Dewi Zulaikha
Selain melihat tindakannya itu sebagai sesuatu yang 'geli' kerana biawak dianggap sebagai haiwan kotor, gadis berusia 21 tahun ini turut dituduh sengaja mahu popular dan mahu 'tunjuk berani' sehingga sanggup bertindak begitu. Lebih teruk lagi ada yang mengaitkan tindakannya itu dengan 'dunia akhir zaman' dan meramalkan tidak mustahil dia akan ditimpa sial atau terkena badi.
Dewi, ketika dihubungi mStar Online berkata dia sedar dirinya dikritik, disindir dan dijadikan bahan lawak gara-gara posting tersebut, tetapi tidak mahu mempedulikannya kerana haiwan yang diberi nama Kenit itu dipelihara bersebab!
"Saya jumpa Kenit dekat sungai dalam keadaan luka dan tak bermaya Julai lalu.
"Sebab kasihan, saya terus bawa balik 'dia' ke rumah untuk dirawat. Saya peliharanya lebih kurang tiga bulan, lepas sembuh saya lepaskan 'dia' semula walaupun rasa berat hati," katanya yang mahu Kenit hidup bebas di habitatnya.
-foto Instagram dewi_zulaikhaa
Menurut Dewi, sebagai seorang pecinta haiwan, istilah 'takut' tidak timbul terutama jika melihat mana-mana haiwan cedera atau memerlukan bantuan.
Apatah lagi dengan koleksi pelbagai spesis ular termasuk ular tedung selar berukuran lebih empat meter yang menjadi haiwan peliharaannya, 'berurusan' dengan biawak bukanlah satu masalah besar untuk dirinya.
Dalam kes ini, Dewi berkata dia amat beruntung kerana tugasnya sebagai seorang jururawat dapat membantunya dari segi langkah penjagaan kebersihan dan pencegahan jangkitan kuman setiap kali dia menyentuh haiwan.
"Saya pakai sarung tangan, buat 'hand washing' setiap kali main atau bawa Kenit jalan-jalan, saya juga mandikannya dengan air bersih.
"Biarlah apa orang nak cakap yang penting biawak pun makhluk Allah, tak haram disentuh dan saya tak siksa Kenit," katanya yang memberi Kenit makan isi ayam ketika berada bawah jagaannya.
Dewi berkata dia tidak pernah menyesal memelihara Kenit dan memuat naik gambar bersamanya di Facebook walaupun dirinya dikecam. "Kenapa nak cakap 'dia' kotor, mulut orang yang cakap tu bersih ke?
"Lainlah viral saya dukung suami orang, yang itu nak kecam, kecamlah," katanya.
Mengulas mengenai koleksi haiwan peliharaannya, Dewi berkata setakat ini dia mempunyai 26 jenis ular dan beberapa haiwan lain yang dibeli dan ditangkap sendiri.
Katanya, selain digunakan untuk pertunjukan, dia juga akan membuat pertimbangan untuk menjual haiwan-haiwan ini jika ada yang berminat.
Dewi berkata setiap haiwan yang dipelihara mempunyai risiko apabila dipelihara dan dia juga tidak terlepas daripada dipatuk ular.
Ditanya sama ada dia mempunyai sebarang ilmu untuk menjinakkan atau menundukkan haiwan berbahaya Dewi menjawab: "Adalah sikit-sikit saya belajar daripada orang dulu-dulu."
|